
SAINGAN Liga A1 Semi-Pro musim 2025-2026 kini menerima masuk 12 pasukan yang berjaya mengesahkan penyertaan setakat ini dengan sepak mula yang dijadualkan pada penghujung Julai dan berakhir Mei 2026.
Empat pasukan baharu dan lima pasukan sedia ada serta tiga pasukan ‘feeder’ dijangka memeriahkan saingan yang kini semakin mendapat tempat dikalangan peminat bola sepak tempatan.
Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, secara rasmi 12 pasukan yang telah berjaya menyertai saingan adalah Armed Forces FC, Manjung City FC, Imigresen FC II, Johor Darul Ta’zim II, Selangor FC II, Kelantan WTS FC dan Kedah FA.
“Turut menyahut cabaran adalah Machan FC, Kelantan Red Warriors FC, Bunga Raya FC, Malaysian University, Persatuan Bolasepak Perak (PAFA),” katanya selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah AFL, di Shah Alam, hari ini.
Mohd Yusoff berkata, tiga pasukan diberikan kelulusan bersyarat bagi membolehkan mereka turut sama menyertai saingan Liga A1 Semi Pro musim ini.
“Tiga pasukan tersebut ialah Kedah Darul Aman (KDA), Guar Syed Alwi (GSA FC) dan Seoul Phoenix FC (Korea Selatan) yang berpengkalan di Lembah Klang.
“Mereka diberikan tempoh 10 hari (6 Jun – 15 Jun 2025 ) untuk melengkapkan beberapa kriteria/dokumen yang diperlukan.
“Perancangan kita sebelum ini untuk mendapatkan sehingga 14 Pasukan yang bakal bersaing. Jika semua atau ada di antara mereka berjaya mendapatkan kelulusan penuh maka akan bertambah bilangan pasukan.
“Jika tidak, AFL tiada masalah untuk meneruskan dengan 12 Pasukan yang sememangnya telah bersedia.
“Di senarai menunggu juga kita ada dua Pasukan (UM-Damansara FC & Ipoh City FC) yang kita boleh pertimbangkan jika ada keperluan untuk melengkapkan bilangan Pasukan. Mereka juga melalui proses yang sama sebelum ini cuma kita dapati masih banyak lagi kriteria yang perlu mereka penuhi.” ujarnya.
Pada musim lalu, Melaka FC dinobatkan selaku juara manakala Imigresen FC ditempat kedua yang memastikan kedua-dua pasukan ini layak secara merit untuk beraksi di pentas Liga Super musim ini.