

KELINCAHAN dan ketajaman penyerang Kelantan WTS FC, Aqil Hilman Danial Roslan yang berada pada prestasi terbaik ketika ini menjadi ancaman besar buat UM-Damansara United menjelang pertembungan kedua-dua pasukan di Stadium UM Arena, Kuala Lumpur petang esok.
Menyedari sesuatu perlu dilakukan, Ketua Jurulatih UM-Damansara United, Ridzuan Abu Shah sudah pun memasang strategi bagi memastikan penyerang lawan itu dirantai.
“Setelah saya melihat corak permainan pasukan lawan (Kelantan WTS FC), saya tertarik dengan penyerang mereka (Aqil Himan) dan juga pemain berpengalaman yang mengemudi bahagian tengah iaitu Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.
“Pasukan lawan bersemangat tinggi dan ini yang saya titik beratkan kepada pertahanan saya supaya mengawal pergerakan kedua pemain ini yang mampu mengubah keputusan perlawanan,” katanya.
Tambahnya lagi, kebangkitan pemain ketika aksi berdepan Imigresen FC II minggu lepas membuktikan keinginan dan semangat tinggi meraih mata.
“Saya nampak kebangkitan pemain dalam perlawanan tersebut, bermain ditempat lawan dan bagi saya semangat itu harus dibawa pada setiap perlawanan untuk bersaingan dengan lebih hebat.
“Semua pemain kini bersiap sedia sepenuhnya dan sekiranya kita meraih satu mata saya anggap ianya adalah satu peluang kecil yang kita dapat dimana tiga mata adalah sasaran kita untuk menamatkan aksi pada Oktober ini ditempat sendiri,” jelasnya.

Selepas sembilan perlawanan UM – Damansara United kini berada dikedudukan ketujuh dengan mengumpul 16 mata hasil empat menang dan seri serta satu kekalahan.
Bagi Kelantan WTS FC pula mereka mengatasi UM-Damansara United dengan kelebihan satu mata berada ditangga kelima setelah lima kemenangan, dua seri dan dua kekalahan untuk mengumpul 17 mata.
Aqil Hilman ketika ini sudah menjaringkan enam gol pastinya menjadi taruhan Kelantan WTS FC dan reputasinya menjaringkan gol ditempat lawan sudah terbukti pada aksi berdepan Imigresen FC II, (2 gol) Armed Forces FC (1 gol), Kedah Darul Aman FC (1 gol) Selangor FC II (1 gol).