

TUJUH pasukan sudah mengesahkan kemaraan ke pentas Suku Akhir Liga A2 Amateur 2025/2026 selepas berlangsungnya perlawanan minggu ke-10 Sabtu lalu.
Satu lagi kekosongan akan ditentukan pada aksi di Zon Utara yang berlangsung Sabtu ini selepas perlawanan tersebut dipinda susulan keadaan banjir di Perlis dan Kedah.
Pasukan terbabit ialah AAK Puncak Alam FC, ACEIO FC (Zon Tengah), Teck-Hin KR FC, MBMB Warrior FC (Zon Selatan), AZM Rovers FC serta YPM FC (Zon Timur) dan USM FC (Zon Utara).
Pada minggu ke -10 tumpuan terarah pada pertembungan bagi Zon Selatan yang menyaksikan MBMB Warrior FC menyertai Teck-Hin KR FC selepas meraih tiga mata penuh menewaskan NS Forces FC ditempat lawan.
Sebelum sepak mula berlangsung, slot terakhir bagi Zon Selatan menjadi rebutan diantara Duyong Fighters FC dan MBMB Warrior FC yang menyaksikan aksi sengit dipamerkan kedua-dua pasukan berdepan lawan masing-masing.
Skuad bimbingan Md Noor Derus yang berkunjung ke Putrajaya berdepan Teck -Hin KR FC dan perlu menang untuk memastikan kemaraan namun sebaliknya apabila hanya mampu seri 2-2 yang menyaksikan kemaraan MBMB Warrior FC selepas mengumpul 15 mata berbanding Duyong Fighters FC hanya 14 mata.
Zon Timur juga menyaksikan skrip yang sama apabila Kuantan City FC yang hanya perlu seri menentang AZM Rovers FC dilaman sendiri terpaksa berputih mata apabila tewas tipis 0-1.
Kekalahan tersebut membuka ruang buat YPM FC untuk menamatkan saingan ditangga kedua menafikan impian Kuantan City FC dengan kelebihan jaringan memihak YPM FC walaupun kedua-dua pasukan meraih mata yang sama iaitu 10 selepas enam perlawanan.
Bagi Zon Utara pula, perlawanan yang dijadualkan minggu lalu akan berlangsung pada 6 Disember 2025 (Sabtu) ini menentukan pasukan naib juara untuk mengiringi USM FC yang menjadi rebutan Kuala Perlis Titan FC, Kuala Muda FA, Bintong
FC dan Kubang Pasu-MPKP.
Saingan peringkat Suku Akhir pertama dijadualkan berlangsung pada 13 dan 14 Disember 2025 manakala aksi timbal balik seminggu kemudian.
> Jadual perlawanan Suku Akhir Pertama
MBMB Warrior vs USM FC
ACEIO FC vs AZM Rovers FC
YPM FC vs AAK Puncak Alam FC
Naib Johan Utara vs Teck – Hin KR FC
Tags: Suku Akhir Liga A2