AFL

LAYAK secara merit dalam saingan Liga A1 Semi-Pro 2026/2027, USM FC tidak mahu dilabel sebagai pasukan pelengkap jadual perlawanan malah tekad memberikan saingan untuk berada dikelompok 10 terbaik.

Skuad yang rata-rata dibarisi kakitangan Universiti Sains Malaysia dan berpengkalan di Gelugor ini giat menjalani latihan persiapan mengharungi Liga A1 Semi-Pro dengan menyertai beberapa kejohanan dan beberapa siri perlawanan persahabatan.

Ketua jurulatih USM FC, Azizul Ahmad Sabri berkata, musim pertama bukan alasan buat kami tidak memperagakan aksi berkualiti dan memberikan saingan kepada pasukan-pasukan lain.

“Kami tidak mahu dilabelkan sebagai pasukan pelengkap jadual pada saingan musim ini, kami telah melakukan persiapan yang rapi kerana saingan kali ini pastinya berbeza.

“Apa yang pasti kami mahu untuk terus kekal dalam Liga A1 Semi-Pro musim depan dan itulah sasaran ditetapkan oleh pengurusan untuk berada dikelompok 10 terbaik musim ini,” katanya.

Tambahnya lagi, beberapa siri perlawanan persahabatan dan kejohanan yang disertai banyak memberikan ruang buat barisan kejurulatihan mengenal pasti dan memperbaiki pasukan sebelum saingan bermula.

“Kita membawa masuk 10 pemain baharu untuk digabungkan dengan pemain-pemain lama yang saya percaya mereka semua akan menggalas tanggungjawab yang telah diamanahkan.

“Majoriti hampir 90 peratus pemain sedia ada dikekalkan dan saya ingin tegaskan bahawa kesemua pemain dalam pasukan adalah kakitangan USM dan pemain tempatan.

“Kini kami berada di fasa terakhir dengan beberapa aspek perlu dipertingkatkan terutamanya dari segi keserasian dan fokus pada perlawanan,” tegasnya.

 

Diminta mengulas saingan Liga A1 Semi-Pro musim ini, Azizul mengakui cabaran yang berbeza dan pasukan sudah bersiap sedia memberikan saingan kepada pesaing lain.

“Kami akan memberikan saingan yang sengit, pastinya berbeza, jadi saya mengharapkan pemain akan mempamerkan aksi yang konsisten dan berkualiti.

“Bukan tugas mudah tapi kami akan memberikan aksi yang terbaik bagi mengharumkan nama USM FC,” tegasnya.

Musim lalu USM FC menamatkan saingan Liga A2 Amateur 2025/2026 selaku Naib juara dan layak secara merit beraksi dipentas Liga A1 Semi-Pro 2026/2027.

Jadual lima perlawanan awal USM FC

> 28 Ogos 2026 (Jumaat)

   JDT II vs USM FC

  (Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin / 8.45 mlm)

> 5 September 2026 (Sabtu)

   UM-Damansara United vs USM FC

   (Stadium UM Arena, Kuala Lumpur / 4.45 ptg)

> 13 September 2026 (Ahad)

    USM FC vs Malaysian University-UiTM

    (Stadium Olahraga USM, Pulau Pinang / 8.45 mlm)

> 27 September 2026 (Ahad)

    Manjung City FC vs USM FC

    (Stadium Majlis Perbandaran Manjung / 8.45 mlm)

> 4 Oktober 2026 (Ahad)

    USM FC vs Perak FA

    (Stadium Olahraga USM, Pulau Pinang / 8.45 mlm)

#AFL

#ligaa1semipro20262027

#ligauntuksemua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *