

PERAK FA tekad meraih keputusan yang lebih baik pada penyertaan musim kedua Liga A1 Semi-Pro 2026/2027 yang bakal memulakan tirai saingan penghujung Ogos ini.
Musim lalu , Perak FA menamatkan saingan di kedudukan kelima keseluruhan musim lalu dengan mengumpul 55 mata hasil 15 kemenangan, 10 seri dan tiga kekalahan.
Kini Perak FA tampil lebih tersusun dengan kombinasi pemain muda berkualiti dan berpengalaman serta kehadiran jurulatih baharu, Noor Zaidi Rohmat yang pastinya menghadirkan saingan sengit buat pasukan lawan.
Bagi Noor Zaidi, cabaran musim pertama buat dirinya dalam saingan Liga A1 Semi-Pro 2026/2027 pastinya bukan mudah memandangkan pasukan lain juga turut mempersiapkan pasukan bagi meraih keputusan positif.
“Musim lalu Perak FA menamatkan saingan dikedudukan kelima terbaik, layak beraksi di Piala Malaysia dan ‘Malaysia Challenge Cup’, jadi kali ini pastinya sasaran lebih baik sebagaimana ditetapkan pengurusan.
“Penglibatan pemain muda berbakat dan bekas pemain kebangsaan serta negeri dalam pasukan merupakan kelebihan yang kita miliki.
“Ketika ini beberapa tonggak utama Perak FA beraksi dalam Sukma 2026 selain pasukan giat mencari pemain import untuk memperkuatkan pasukan.
“Boleh dikatakan persiapan pasukan berada difasa terakhir dan apabila pemain-pemain Sukma 2026 kembali bersama pasukan saya percaya kita akan membentuk pasukan yang mantap dan berkualiti.

“Kami mengharapkan segala perancangan yang diterapkan semasa sesi latihan dan perlawanan persahabatan mampu diterjemahkan dalam saingan sebenar penghujung Ogos nanti,” katanya.
Noor Zaidi yang juga merupakan bekas jurulatih pembangunan FAM turut mengesa peminat khususnya penyokong setia Perak FA memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi buat pasukan.
“Sokongan peminat yang merupakan pemain ke 12 adalah ditagih kerana ini akan menaikkan semangat barisan pemain yang berjuang memburu kemenangan pada setiap perlawanan.
“Saya yakin dan percaya aura sokongan peminat musim lalu akan berterusan malah semakin bertambah pada setiap perlawanan,”ujarnya.

Jadual lima perlawanan awal Perak FA
> 29 Ogos 2026 (Sabtu)
Perak FA vs Negeri Sembilan FC II
(Kompleks Bolasepak Perak, Chepor / 4.45 ptg)
> 5 September 2026 (Sabtu)
Armed Forces FC vs Perak FA
(Stadium MINDEF, Kuala Lumpur / 4.45 ptg)
> 12 September 2026 (Sabtu)
Kelantan City FC vs Perak FA
(Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu / 8.45 mlm)
> 26 September 2026 (Sabtu)
Perak FA vs Selangor FC II
(Kompleks Bolasepak Perak, Chepor / 4.45 ptg)
> 4 Oktober 2026 (Ahad)
USM FC vs Perak FA
(Stadium Olahraga USM, Pulau Pinang / 8.45 mlm)
#afl
#ligaa1semipro20262027
#ligauntuksemua
