

AAK UNISEL FC mahu memastikan pertembungan menentang Imigresen FC II sebagai detik kebangkitan buat mereka selepas tewas dua perlawanan awal sebelum ini.
Kecundang kepada Bunga Raya FC (1-3) dan JDT II (1-3), skuad bimbingan Rezal Zambery Yahya kini tekad bangkit mencari kemenangan pertama.
Bagi Rezal Zambry, kekalahan itu mengecewakan kita namun positifnya pasukan berjaya menjaringkan gol.
“Kita pasukan baharu dalam saingan Liga A1 Semi-Pro, rata-rata pemain kini dalam proses menyesuaikan diri dan kita akan mempertingkatkan corak permainan dari masa ke semasa.
“Menentang IFC II bukan mudah memandangkan lawan masih belum tewas dan saingan sengit pasti diberikan.
“Kita sedar pelawat pasukan lebih berpengalaman dengan dibarisi pemain tempatan dan import berkualiti, saya rasa yang penting sekarang adalah mencari kemenangan untuk moral pasukan,” tegasnya.

Tambahnya lagi, para pemain telah diingatkan agar memberikan tumpuan penuh disepanjang perlawanan dan tidak melakukan kesilapan mudah.
“Kalau kita tengok dalam dua perlawanan sebelum ini, pasukan berjaya menyamakan kedudukan namun sedikit kelekaan menyebabkan lawan menjaringkan gol.
“Elakkan dari melakukan kesilapan mudah yang membuka ruang kepada lawan menjaringkan gol, bagi saya jika semua pemain bermain dengan penuh semangat dan mengikut segala perancangan kita mampu meraih kemenangan pertama,” katanya.
