

KETUA pasukan THKR FC, Mohd Fakrul Aiman Sidid menyifatkan perlawanan menentang PUSEN-Seremban United FC bukanlah aksi sebenar pasukan walaupun meraih tiga mata penuh.
Tegasnya, sebagai pemain masih banyak yang perlu diperbaiki seandainya ingin melangkah lebih jauh dalam saingan Liga A2 Amateur 2026/2027.
“Perlawanan pertama agak sukar, sebagai pemain berpengalaman dalam pasukan saya cuba membantu rakan-rakan sepasukan yang lain.
“Cuba bertahan ketika menerima asakan dan mengatur gerakan memburu gol, bagi saya masih banyak lagi perlu diperbaiki terutamanya dari segi gerakan penyudah,” katanya.
Bekas pemain Felda United, PKNS FC dan Negeri Sembilan turut menjelaskan masih belum berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkannya.
“Kami akan cuba memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada pada perlawanan seterusnya, apa yang boleh saya katakan ini bukanlah aksi sebenar.
“Secara peribadi saya sendiri masih belum berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan,” katanya.

Tirai saingan Liga A2 Amateur 2026/2027 dimulakan pertembungan THKR FC menentang PUSEN-Seremban United FC (Zon Selatan) yang merupakan perlawanan pembukaan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan.
Tiga mata menjadi milik THKR FC selepas kemenangan tipis 1-0 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Amir Firdaus pada minit ke 72.
