PENJARING gol Kuala Lumpur Rovers FC, Amirul Ashraf tekad terus meledak gol setiap kali diturunkan beraksi dalam saingan Liga M3 bagi membantu kemenangan pasukan.
Kali pertama beraksi dalam kancah Liga M3, Amirul menyifatkan inilah peluang terbaik buat dirinya untuk mempamerkan kualiti dan mengorak langkah lebih jauh.
“Gol kedua pasukan adalah pertama buat diri saya dalam pentas Liga M3, sudah pastinya saya mengharapkan ia pencetus semangat serta keyakinan untuk terus menjaringkan gol.
“Kemenangan ke atas Malaysia University bagus untuk semua pemain menjelang aksi menentang Perlis United FC di Stadium Unimap, Pauh Perlis, Sabtu ini,” katanya kepada AFL.
Mengulas aksi menentang Malaysia University, Amirul melihat perlawanan tersebut bukanlah ukuran sebenar bagi KL Rovers memandangkan lawan dibarisi pemain-pemain muda.
“Kita tidak boleh puas hati dengan perlawanan tersebut, kita tahu lawan kurang berpengalaman, jadi saya harap semua pemain tidak mudah leka dengan kemenangan ini.
“Berdepan Perlis United FC bukanlah mudah dan kami harap mampu kekalkan rentak kemenangan,” tegas bekas pemain Sarawak United FC ini.
Pada aksi menentang Malaysia University di Stadium UKM Bangi, Sabtu lalu, KL Rovers FC yang hadir selaku pasukan pelawat berada didepan seawal minit kesembilan menerusi jaringan Rafie Mat Yaacob sebelum Amirul meledak gol kedua dipenghujung babak pertama.
KL Rovers FC yang dibimbing Wan Mustaffa Wan Ismail terus mengukuhkan kedudukan pada babak kedua menerusi jaringan gol ketika yang disempurnakan Afiq Razali minit ke-64.