

PENDATANG baharu Liga A2 Amateur 2025/2026, AZM Rovers FC tekad membawa pulang mata ke Kota Bharu menjelang aksi sulung berdepan YPM FC pada aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam esok.
Hadir dengan semangat juang tinggi dan reputasi positif, kelab yang berpengkalan di Kok Lanas, Kota Bharu tetap menghormati tuan rumah yang memiliki pengalaman luas dalam kancah bola sepak.
Penolong Pengurus AZM Rovers FC , Khairu Zal Azmie Zahinudden berkata, pasukannya hadir selaku status pendatang baharu namun bukan alasan untuk tidak memberikan saingan kepada lawan.
“Berada dipentas yang berbeza dari sebelum ini pastinya pengalaman baharu buat pasukan namun ia adalah cabaran yang perlu diharungi dan pasukan kini bersedia sepenuhnya.
“Pasukan telah menjalani persiapan yang rapi untuk mengharungi Liga A2 Amateur 2025/2026. Berdasarkan sesi latihan dan beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini kita lihat keyakinan tinggi dipamerkan pemain,” katanya.

Khairul Zal Azmie berkata, pasukannya tetap menghormati tuan rumah memandangkan mereka dibarisi beberapa pemain berpengalaman yang bersama mereka musim lalu.
“Mereka (YPM FC) miliki pengalaman beraksi dalam pentas seumpama ini selain beraksi dilaman sendiri mungkin kelebihan buat pasukan tetapi semua ini bukan halangan bagi kami untuk meraih keputusan positif.
“AZM Rovers FC hadir dengan matlamat membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata tetapi kami tetap berusaha untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan,” jelasnya.
Selain pertembungan YPM FC menentang AZM Rovers FC yang berada dalam Zon Pantai Timur , turut berlangsung dalam zon yang sama adalah perlawanan Kuala Lumpur Rovers menanti kunjungan Kuantan City FC, di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, jam 4.45 petang.
> 12 September 2025 (Jumaat)
YPM FC lwn AZM Rovers FC
Stadium Darul Makmur, Kuantan / 8.45 malam
#afl
#ligaa2amateur
#ligauntuksemua