BUKIT Tambun FC yang mencatatkan dua kemenangan berturut-turut enggan mendabik dada dengan prestasi yang dipamerkan selepas menang ke atas Naga Ultimate KS FC dan Sarawak United FC.
Pandangan ini dinyatakan penolong jurulatih Bukit Tambun FC, Hasbul Hazani Daud yang melihat masih terlalu awal untuk menilai kekuatan pasukan mahupun lawan memandangkan saingan Liga M3 baru dua perlawanan.
“Menang dua perlawanan meraih enam mata sememangnya melegakan kami, cuma secara keseluruhannya saya belum berpuas hati memandangkan beberapa pemain utama tidak beraksi kerana mengalami kecederaan.
“Aksi menentang Melaka FC ditempat lawan kami mengharapkan pasukan akan turun dengan barisan terbaik,” katanya kepada AFL.
Mengenai dua perlawanan yang telah dilalui, Hasbul Hazani menyifatkan ketumpulan jentera serangan menafikan impian pasukan untuk meraih kemenangan dengan jumlah yang besar.
Selepas berakhirnya dua perlawanan, Bukit Tambun FC menang ke atas Naga Ultimate KS FC (1-0) serta Sarawak United FC (2-0) dan meraih enam mata bersama KL Rovers FC dan Sains FC yang turut meraih dua kemenangan.