

PENGENDALI Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) Irfan Bakti Abu Salim enggan menekan butang panik walaupun skuad bimbingannya masih belum meraih sebarang kemenangan selepas lima perlawanan.
Tegasnya, saingan Liga A1 Semi-Pro masih lagi panjang dan kemasukan beberapa pemain dalam pasukan akan merubah prestasi pasukan.
“Saya masih belum tekan butang panik, baru lima perlawanan dan masih lagi panjang, pertukaran pemain akan merubah pasukan tapi biarlah dulu,” ujarnya.

Mengulas persembahan anak didiknya, Irfan Bakti mengakui pemainnya mempamerkan aksi berbeza jika dibandingkan pada aksi menentang Selangor FC II sebelum ini.
“Saya memuji pertahanan yang memberikan aksi terbaik menghadapi tentangan lawan, karektor pemain pun ada perbezaan berbanding perlawanan sebelum ini.
“Pemain telah memberikan segala-galanya namun masih belum mampu meraih kemenangan,” katanya.
Selepas lima perlawanan, KRW FC hanya mengumpul tiga mata hasil tiga seri dan dua kekalahan untuk berada ditangga ke-13.
> Keputusan lima perlawanan KRW FC
– KRW FC (1) lwn (1) UM- Damansara United
– Seoul Phoenix FC (0) lwn (0) KRW FC
– Kedah FA (1) lwn (0) KRW FC
– Selangor FC II (2) lwn (1) KRW FC
– Perak FA (1) lwn (1) KRW FC

> Perlawanan seterusnya
6 Oktober 2025 (Isnin)
Kelantan Red Warrior FC lwn Johor Darul Ta’zim II
Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu / 8.45 mlm