

HANYA kemenangan berdepan Teck-Hin KR FC yang akan memastikan kemaraan Duyong Fighters FC ke peringkat Suku Akhir Liga A2 Amateur 2025/2026.
Dibezakan hanya satu mata dengan MBMB Warrior FC yang berada dikedudukan ketiga Zon Selatan, laluan sedikit sukar buat Duyong Fighters FC yang turun berdepan Teck-Hin KR FC yang sudah pun layak ke kelompok lapan terbaik.
Bagi MBMB Warrior FC pula mereka akan menentang NS Forces Warrior FC yang masih gagal meraih sebarang mata selepas tujuh perlawanan.

Pegawai pasukan Duyong Fighters FC, Mohd Zulfadili Hamzah berkata, pasukannya kini hanya memberikan tumpuan penuh pada perlawanan terakhir tanpa memikirkan aksi MBMB Warrior FC.
“Kemaraan pasukan kini terletak dibahu pemain yang akan menggalas amanah, hanya tiga mata akan mengesahkan slot suku akhir tanpa mengharapkan lain-lain keputusan.
“Duyong Fighters FC menghormati Teck – Hin KR FC selaku johan Zon Selatan tetapi kami akan turun dengan semangat Hang Tuah memburu kemenangan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pemain kini berada diprestasi terbaik dan semangat tinggi untuk meraih kemenangan.
“Dalam beberapa perlawanan persahabatan dan sesi latihan yang diadakan, saya dapat lihat keyakinan dan keinginan pemain untuk melangkah ke peringkat seterusnya.
“Pemain telah diingatkan agar sentiasa fokus, menterjemahkan peluang dengan jaringan dan pada masa sama tidak melakukan kesilapan yang boleh memberi ruang kepada lawan menjaringkan gol.
“Kami juga menyeru penyokong-penyokong yang berada di sekitar Lembah Klang untuk hadir memberikan semangat dan memainkan peranan selaku pemain ke 12 buat pasukan,” katanya.
Berdasarkan kedudukan semasa ketika ini, seandainya Duyong Fighters FC tewas dan MBMB Warrior FC menang Sabtu ini, slot terakhir akan menjadi milik MBMB Warrior FC yang akan bersama Teck-Hin KR FC.

Perlawanan Seterusnya
Zon Selatan
29 November 2025 (Sabtu)
Teck-Hin KR FC vs Duyong Fighters FC
Putrajaya Sports Arena, Presint 4 / 4.45 petang