AFL
Harini Selangor FT mahu memastikan slot Piala Malaysia lebih awal dengan kemenangan berdepan SAINS FC, malam esok.

HARINI Selangor FT enggan mengambil risiko sehingga perlawanan terakhir pusingan pertama untuk menentukan slot Piala Malaysia apabila memburu kemenangan berdepan SAINS FC di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi, Sabtu.

Pengendali Harini Selangor FT, P Maniam berkata, pasukannya tidak akan mengambil risiko menunggu sehingga perlawanan terakhir pusingan pertama MBSB Bank Championship untuk mengesahkan kemaraan ke Piala Malaysia 2023.

“SAINS FC pasukan yang kuat dan kita nampak mereka juga ada peluang untuk layak beraksi dipentas Piala Malaysia, bagi saya aksi Sabtu ini umpama final buat kedua-dua pasukan.

“Kami tidak boleh ambil mudah dan bermain hanya untuk mendapatkan satu mata, peluang terbaik pasukan untuk mengesahkan kemaraan lebih awal dan tidak menunggu sehingga perlawanan terakhir pusingan pertama,” katanya kepada AFL.

Tambahnya lagi, barisan pemain telah memahami kehendak pengurusan untuk lebih awal ke pentas Piala Malaysia.

“Saya telah ingatkan kepada pemain, setiap kali turun beraksi tiga mata menjadi sasaran utama, itu matlamat Harini Selangor FT,” ujar bekas pengendali Petaling Jaya City FC itu.

Selepas 10 perlawanan Harini Selangor FT berada ditangga kedua liga MBSB Bank Championship mengumpul 23 mata dibezakan tiga mata dengan SAINS FC dikedudukan ketiga.

Seandainya Harini Selangor FT pulang tanpa sebarang mata dan kemenangan memihak tuan rumah, perlawanan terakhir kedua-dua pasukan berdepan lawan masing-masing akan menentukan pasukan mana akan mengiringi KL Rovers yang sudah mengesahkan slot Piala Malaysia.

Manjung City FC bakal menjadi lawan terakhir Harini Selangor FT pada 15 Julai dilaman sendiri manakala SAINS FC pula bertandang ke tempat lawan berdepan Perlis United FC pada hari yang sama.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *