BENTENG terakhir Kelab Bolasepak Persada Integriti Bersatu (PIB), Izzat Abd Rahim ternyata menepati kehendak dan kepercayaan diberikan pasukan apabila beraksi cemerlang bagi memastikan gawang tidak dibocori pada aksi menentang Manjung City FC, Sabtu lalu.
Ketangkasan Izzat yang sekurang-kurangnya menafikan tiga percubaan dari penyerang tuan rumah memastikan pasukan membawa pulang satu mata berharga.
Bagi ketua jurulatih PIB Shah Alam FC, Yusrizal Yusoff pemilihan Izzat sememangnya menjadi keutamaan pada aksi pertama beraksi ditempat lawan.
“Kerja keras dan persembahannya pada malam tersebut menepati kemahuan dan kehendak saya serta pengurusan, bijak membaca pergerakan, hantaran lawan dan ianya terbukti apabila menafikan sekurang-kurangnya tiga percubaan berbahaya lawan.
“Barisan pertahanan juga saya lihat memiliki keyakinan untuk mara ke bahagian tengah setelah melihat aksi berkualiti dipamerkan Izzat,” katanya kepada AFL.
Tambahnya lagi, bukan sahaja Izzat yang beraksi cemerlang tetapi pemain lain memberikan sepenuh komitmen sepanjang masa perlawanan.
“Mungkin ada beberapa kelemahan yang dikenalpasti pada perlawanan menentang Manjung City FC, dari segi keserasian, begitu juga rentak permainan pasukan yang terikut-ikut dengan corak permainan lawan.
“Jentera serangan perlu lebih tajam dan kita perlu bermain dengan gaya kita sendiri,, mungkin ini perlawanan pertama kita, apa pun saya gembira dengan membawa pulang satu mata berharga”, ujarnya.