AFL
Mohd memuji semangat juang tinggi dipamerkan anak didiknya untuk memastikan kemenangan sulung.

 KETUA Jurulatih JAKIM FC, Mohd Nik tanpa berselindung memuji semangat kebangkitan dipamerkan anak didiknya untuk mengatasi MAHSA City FC , 2-1 pada saingan Al Ikhsan Cup 2023, Sabtu lalu.

Tegasnya, keyakinan tinggi dan tidak mengenal erti putus asa nyata tonik yang berguna untuk memastikan tiga mata penuh dan merupakan kemenangan pertama selepas tiga perlawanan.

“Kami ketinggalan hasil jaringan lawan berpunca dari sedikit kesilapan yang seharusnya mampu dielakkan.

“Gol lawan tidak melemahkan barisan pemain, mereka bangkit mengatur gerakan memburu gol penyamaan seterusanya gol kemenangan yang sememangnya dinantikan.

“Semangat juang pemain seharusnya diberikan pujian, ketinggalan namun bangkit mencapai kemenangan yang melonjakkan kedudukan untuk bersaing,” katanya kepada AFL.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium MMU, Cyberjaya, pelawat terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan Fadzilah Jalaludin pada minit ke-12 dan keputusan itu kekal sehingga tamat masa pertama.

Semangat juang dan kebangkitan tuan rumah semakin ketara pada babak kedua dan akhirnya mereka memperolehi gol penyamaan menerusi Azim Hakimi pada minit ke-82 sebelum selang enam minit kemudian Badrul Amin menjaringkan gol kemenangan buat JAKIM FC.

Tiga mata diraih JAKIM FC meletakkan mereka kini berada ditangga ketiga Zon 1 (Tengah / Selatan) dengan mengumpul empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

Bunga Raya FC mengungguli kumpulan dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan berturut-turut manakala MPPD FC ditangga kedua mengutip tujuh mata.

Selepas ini JAKIM FC akan bertandang ke tempat lawan berdepan Cyberfox FC yang berada dikedudukan keempat dengan tiga mata selepas meraih satu kemenangan dan dua kekalahan.

Keputusan perlawanan Zon 1 yang berlangsung, Sabtu lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *