

KELANTAN Red Warrior FC (KRW) menyasarkan mata penuh pada baki dua perlawanan pusingan pertama Liga A1 Semi-Pro 2025/2026 bagi memastikan kemaraan ke pentas Piala Malaysia 2026.
Enggan memikirkan keputusan perlawanan lain, KRW percaya jika enam mata diraih pada aksi berdepan Imigresen FC II dan Bunga Raya FC kedudukan tiga terbaik akan menjadi milik skuad yang berpengkalan di Kota Bharu ini.
Ketua jurulatih KRW FC, Irfan Bakti Abu Salim menjelaskan skuadnya kini sudah bersedia sepenuhnya bagi mengharungi dua perlawanan penting yang akan menentukan kemaraan ke Piala Malaysia 2026.

“Pasukan sudah siap sedia, moral dan motivasi pemain begitu tinggi ketika ini selepas rentetan kemenangan yang dicapai sebelum ini, untuk aksi menentang IFC II saya dan ingatkan pemain agar tidak mengambil mudah.
“Kami tidak mahu fikirkan keputusan perlawanan lain, apa yang kami mahu adalah perlawanan sendiri untuk mengutip mata penuh.
“Kita akan cuba dapatkan enam mata dan layak ke pentas Piala Malaysia 2026,” tegasnya.
Katanya lagi, beberapa siri perlawanan persahabatan di Lembah Klang merupakan pendedahan terbaik buat pasukan.
“Keputusan amat memberangsangkan dan positif dengan kemenangan tersebut ia akan menaikkan motivasi pemain untuk berdepan dengan IFC II, Sabtu ini,” ujarnya.

KRW FC perlu meraih kemenangan pada baki dua perlawanan untuk memastikan slot Piala Malaysia tidak terlepas dalam gengaman memandangkan Perak FA, UM Damansara United, Kedah FA dan Armed Forces FC juga mengimpikan hasrat tersebut.
#afl
#ligaa1semipro202526
#ligauntuksemua
> Baki perlawanan KRW FC <
> 20 Disember 2025 (Sabtu)
– KRW FC vs Imigresen FC II
Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu / 8.45 mlm
> 30 Disember 2025 (Selasa)
Bunga Raya FC vs KRW FC
Stadium Tampin, Negeri Sembilan / 4.45 ptg