

KUALA MUDA FA yakin akan mengiringi USM FC selaku dua pasukan terbaik Zon Utara sekiranya segala perancangan berdepan Kuala Perlis Titan FC pada aksi terakhir Sabtu ini berjalan lancar.
Menyifatkan kesemua barisan pemain kini memiliki keyakinan dan keazaman tinggi untuk membawa pulang mata penuh namun pada masa sama Kuala Muda FA tetap menghormati lawan.

Presiden Kuala Muda FA, Mohd Yusuri Yusof berkata, segala persiapan dan perancangan sedang giat dilaksanakan menjelan aksi penting di Stadium UNIMAP, Pauh, petang Sabtu ini.
“Ini adalah aksi penentu kemaraan bukan sahaja buat kami tetapi jugak pasukan lawan, pada perlawanan pertama, perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1.
“Masalah ketumpulan jentera serangan pada aksi pertama menjadi salah satu faktor kita hanya meraih satu mata, tetapi kali ini bagi saya jika kita berjaya memanfaatkan peluang didepan gawang dengan jaringan kemenangan akan berpihak pada pasukan.
“Kami tetap hormati lawan tetapi dalam situasi seumpama ini pemain perlu mengikut segala perancangan dan memberikan persembahan yang terbaik sehinggalah wisel penamat dibunyikan,” katanya.
Mohd Yusuri berkata, bagi memastikan tahap kecergasan pemain berada dalam keadaan terbaik beberapa siri perlawanan persahabatan diadakan sebagai persiapan berdepan Kuala Perlis Titan FC.

“Kami merangka perlawanan persahabatan untuk melihat aspek-aspek yang perlu dipertingkatkan pada masa sama menilai tahap kecergasan barisan pemain.
“Ini adalah perlawanan penentu buat pasukan, kami mahu melangkah lebih jauh berbanding musim lalu,” tegasnya yang meletakkan sasaran melangkah ke pentas suku akhir Liga A2 Amateur 2025/2026.

Perlawanan Seterusnya
29 November 2025 (Sabtu)
Kuala Perlis Titan FC vs Kuala Muda FA
Stadium UNIMAP, Pauh / 4.45 petang