AFL

PENGENDALI Kuala Perlis Titan FC, Faizal Abu Bakar mahu skuad bimbingannya memanfaatkan aksi suku akhir pertama berdepan Teck-Hin KR FC dengan kemenangan bergaya sebagai bekalan selesa untuk aksi timbal balik.

Menanti kunjungan lawan di Stadium UNIMAP, Pauh, Faizal percaya anak didiknya mampu merealisasikan hasrat tersebut berdasarkan keyakinan tinggi dipamerkan pada setiap perlawanan.

“Kami yakin mampu menewaskan Teck-Hin KR FC untuk layak ke pusingan separuh akhir, memang kita bersedia sepenuhnya dari segi latihan dan mental pemain.

“Permulaan liga perjalanan kita agak sukar namun berjaya sampai ke tahap ini pemain menonjolkan semangat keharmonian dan paling penting keyakinan meraih kemenangan pada setiap perlawanan.

“Untuk aksi di tempat sendiri, kita perlukan gol dan kemenangan sekurang-kurangnya tiga gol untuk dijadikan bekalan pada aksi kedua.

“Saya percaya pemain mampu melakukannya dan mengikuti segala perancangan yang telah direncanakan,” tegasnya.

Tambahnya lagi, dia juga mengetahui corak permainan pasukan lawan berdasarkan pemerhatian yang dilakukan semasa peringkat zon.

“Kita ada buat analisis corak permainan lawan dan kenal beberapa pemain dalam pasukan tersebut,” tegasnya.

Pada masa sama, Faizal turut menggesa peminat tempatan khususnya penyokong Kuala Perlis Titan FC untuk hadir memberikan sokongan buat pasukan.

“Aura dan sokongan pemain ke 12 amat diperlukan dan saya menggesa kehadiran ke stadium yang pastinya akan memberikan tonik buat barisan pemain,” jelasnya.

Kuala Perlis Titan FC menamatkan saingan di peringkat Zon Utara Liga A2 Amateur 2025/2026 selaku naib juara selepas mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan, satu seri dan empat kekalahan.

Jadual perlawanan Suku Akhir Pertama
> 14 Disember 2025 (Ahad)
Kuala Perlis Titan FC vs Teck-Hin KR FC
Stadium UNIMAP, Pauh / 4.45 ptg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *