

KUANTAN City FC menanti kunjungan AZM Rovers FC dengan menggalas dua misi penting menjelang aksi terakhir peringkat Zon Timur Liga A2 Amateur 2025/2026 di Padang Sintetik Arena, MBK, Sabtu ini.
Meraih tiga mata penuh dan pada masa sama menamatkan saingan peringkat Zon Timur selaku juara adalah misi yang perlu diterjemahkan pada aksi yang memberi seribu makna buat kedua-dua pasukan.
Walaupun hanya memerlukan keputusan seri untuk melangkah ke pusingan Suku Akhir, Kuantan City FC bagaimanapun tetap mahukan kemenangan apatah lagi beraksi dihadapan penyokong sendiri.

Ketua jurulatih Kuantan City FC, Ahmad Ridzuan Abdul Halim menjelaskan misi balas dendam kekalahan pertama perlu ditebus pada aksi ditempat sendiri, Sabtu ini.
“Ada yang beranggapan kami hanya perlu seri untuk ke pusingan seterusnya, tetapi saya telah mengingatkan barisan pemain untuk menamatkan perlawanan dengan skrip kemenangan.
“Selagi kita mampu meraih tiga mata, selagi itulah kami akan berusaha, tewas 0-1 ditempat lawan tempoh hari perlu segera diperbaiki dengan kemenangan.
“Kami mahu mengakhiri saingan peringkat zon selaku juara dan pemain bersedia memastikan hasrat tersebut tercapai,” tegasnya.

Berdasarkan kedudukan semasa peluang nyata memihak Kuantan City FC yang memiliki baki satu perlawanan berbanding YPM FC walaupun mereka berkongsi 10 mata.
Kuantan City FC hanya perlu seri berdepan AZM Rovers FC pada perlawanan terakhir dilaman sendiri namun jika tuan rumah tewas ke atas pelawat, YPM FC yang ketika ini berada dikedudukan ketiga akan mengiringi AZM Rovers FC.
Perlawanan Seterusnya
Zon Timur
29 November 2025 (Sabtu)
Kuantan City FC vs AZM Rovers FC
Padang Sintetik Arena, MBK / 4.45 petang
