PERSAINGAN empat pasukan bagi merebut dua slot suku akhir mewarnai aksi terakhir peringkat kumpulan Zon Selatan, Liga A2 Amateur Al Ikhsan Cup 2024, Sabtu ini.
Pasukan terbabit adalah MPPD FC, SJ Virtuosos FC, BR United dan JAKIM FC akan turun petang esok memburu kemenangan untuk mengiringi SAMB FC yang sudah pun mengesahkan kemaraan selaku juara kumpulan Zon Selatan selepas mengumpul 22 mata.
SJ Virtuosos FC akan bertandang ke Arena Sukan Azman Hashim UKM, Bangi berdepan JAKIM FC manakala BR United akan menanti kunjungan MPPD FC di Arena IRC, Sendayan.
Berdasarkan kedudukan selepas sembilan perlawanan, SAMB FC mengumpul 22 mata, MPPD FC (14), SJ Virtuosos FC, BR United FC dan JAKIM FC masing-masing 13 mata
Bagi Ketua jurulatih SJ Virtuosos FC, Khairulbahar Taib, peluang melangkah ke pentas suku akhir merupakan satu pencapaian terbaik buat pasukan yang tampil kali pertama dalam saingan Liga A2 Amateur Al Ikhsan Cup 2024.
“Kita sudah merangka strategi untuk memastikan keputusan positif memihak pasukan, pemain-pemain juga cukup bersedia untuk melakar pencapaian tertinggi pasukan ketika ini, boleh dikatakan mereka semua tidak sabar untuk diturunkan beraksi.
“Sudah semestinya kami ingin meneruskan kemaraan namun lawan (JAKIM FC) bukanlah calang-calang dan perlu sentiasa berwaspada dari awal sehinggalah tamat perlawanan,” katanya.
Bagi pengendali BR United, Syah Juan Mohd Nor pula mereka telah bersedia dari segi semua aspek untuk bendepan MPPD FC dimana pada pusingan pertama terikat seri 1-1 walaupun mendahului lawan.
“Kita telah mengkaji kekuatan dan kelemahan lawan untuk dijadikan senjata pada aksi terakhir peringkat Zon Selatan menentang MPPD FC, Sabtu ini.
“Tiada istilah lain yang perlu dicapai melainkan hanya kemenangan untuk memastikan kemaraan ke pentas suku akhir. Pemain telah dimakluman dan mereka semua ketika ini bersedia untuk meneruskan kemaraan,” tegasnya.
Keyakinan sama dilontarkan, Ketua jurulatih MPPD FC, Adnan Md Din yang enggan mengambil risiko pada aksi terakhir peringkat zon walaupun mereka hanya perlu meraih satu mata untuk layak.
“Berdepan BR United bukanlah tugas mudah memandangkan lawan bukan calang-calang pasukan, jadi kami perlu bersedia dari segi semua aspek.
“Kelekaan pada saat akhir perlu diatasi pemain andai ingin meraih keputusan positif yang akan melayakkan pasukan berada dikelompok 16 terbaik.
“Jika seri, kami akan layak untuk sekurang-kurangnya dikedudukan ketiga terbaik dalam Zon Selatan, tetapi kami tidak mahu mengambil risiko dan hanya mahukan kemenangan berdepan BR United, esok”.
Bagi Zon Utara / Pantai Timur, Kelantan WTS FC meneruskan kemaraan sambil menanti GSA FC mahupun Kuala Muda FA manakala Zon Tengah pula AAK Ultimate FC, KGKU FC dan Semantan Troopers FC sudah mengesahkan kemaraan dikelompok 16 terbaik.