AFL

AMATEUR FOOTBALL LEAGUA (AFL) mengumumkan penajaan MBSB Bank Berhad bagi pertandingan utamanya iaitu Liga M3 dan secara tidak langsung menyaksikan penjenamaan liga semi-profesional ini untuk diangkat ke peringkat yang lebih tinggi.

Melalui Perjanjian Penajaan yang dimeterai antara AFL yang merupakan pengendali utama liga semi-profesional dan amatur dengan MBSB Bank Berhad sebuah Bank patuh syariah yang progresif, Liga M3 akan diberi nafas baharu dan selepas ini dikenali sebagai MBSB Bank Championship (Liga Kejuaraan MBSB Bank).

Majlis menandatangani perjanjian penajaan yang diadakan Sabtu lalu di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak itu telah disempurnakan oleh Pengerusi AFL, Yang Berbahagia Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank Berhad iaitu Yang Berbahagia Datuk Nor Azam M. Taib sebelum sepak mula Perlawanan Liga M3 di antara Sarawak United FC dan Malaysia University FT (MUFT) di venue yang sama.

Pengerusi AFL, Yusoff Mahadi (kiri) menandatangani perjanjian dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Presiden Persatuan Bolasepak (FAS), Abang Zulkarnain Abang Abdurahman, Yang Berbahagia Datuk Azrulnizam Abdul Aziz, Ahli Lembaga Pengarah MBSB Bank Berhad dan Lagenda Bola Sepak tempatan yang juga merupakan Penasihat Teknikal Pasukan MUFT, Yang Berbahagia Dato’ Jamal Nasir Ismail.

MBSB Bank selaku penaja utama dan rakan bank rasmi AFL juga menjadi penaja bersama untuk Liga M4 dan Liga M5 yang dikendalikan oleh AFL.

Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff berkata, Kerjasama ini membuktikan liga tempatan bertaraf semi-profesional dan amatur mempunyai nilai komersial tersendiri. Kehadiran MBSB Bank melambangkan penerimaan komuniti perniagaan terhadap sukan bola sepak di peringkat amatur yang berteraskan komuniti setempat ini.

Tambahnya,  bagi pihak AFL, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan kepercayaan MBSB Bank terhadap AFL untuk menjalin kerjasama demi faedah bersama.

“AFL sedia maklum imej MBSB Bank kini semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia dan besarlah harapan kami kerjasama ini dianggap langkah pertama dalam menyumbang kepada pembangunan sukan tanah air.

“Kerjasama ini diharap dapat membuka mata lebih banyak syarikat luar mahu pun tempatan agar memberi perhatian kepada sukan bola sepak di peringkat amatur yang memiliki potensi cukup besar untuk diterokai dari sudut komersial,” tegasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib pula berkata, pihaknya di MBSB Bank sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan AFL kerana kami yakin bahawa sukan bola sepak sangat dekat di hati rakyat.

“Kami merasa bangga dalam penglibatan ini demi menyokong pembangunan bola sepak negara.

“Menerusi kolaborasi ini, orang ramai berpeluang mengenali MBSB Bank dengan lebih dekat dan memanfaatkan perkhidmatan yang kami tawarkan bagi membantu mereka menguruskan kewangan dengan lebih berhemah,” katanya.

Ujarnya lagi, kami mengharapkan melalui keterlihatan MBSB Bank, rakyat akan lebih maklum mengenai penawaran perbankan komprehensif.

“Sebagai contoh, Akaun Simpanan-i dan Semasa-i boleh dimanfaatkan pelanggan melalui kadar pulangan kewangan yang menarik. Manakala, Pembiayaan Peribadi-i disediakan bagi membantu rakyat menangani keperluan kewangan dan Pembiayaan Hartanah-i pula ialah untuk membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.

“Kami mengharapkan penglibatan MBSB Bank akan menyemarakkan lagi aksi di padang bola sepak dan sokongan kami dapat merealisasikan hasrat pengurusan AFL untuk melihat liga ini muncul sebagai salah satu liga terunggul di negara ini.” jelasnya.

Nantikan wajah baharu Liga yang bertaraf semi-pro ini!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *