PENYANDANG juara Liga M3, Kelab Bolasepak Persada Integriti Bersatu (PIB) berdepan ancaman awal mempertahankan gelaran selepas diikat seri tanpa jaringan berdepan Manjung City FC, sebentar tadi.
Memegang reputasi selaku juara bertahan dan pasukan pilihan, PIB FC dipaksa bekerja keras dan diberikan tentangan sengit ketika berdepan tuan rumah pada aksi di Stadium Manjung, Perak.
Corak permainan pantas menerusi serangan balas yang dijelmakan kedua-dua pasukan nyata menghiburkan penonton namun tiada sebarang gol terhasil pada separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua skrip yang sama berulang dengan ketangkasan kedua-dua penjaga gol menafikan jaringan terhasil dan keputusan seri tanpa jaringan itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Sementara itu pada aksi di Stadium Hang Jebat, SAINS FC bangkit dari ketinggalan sebelum berjaya mengatasi Melaka FC, 3-1.
Tuan rumah terlebih dahulu didepan hasil jaringan Farid Khazali pada minit ke-14 sebelum pelawat menyamakan kedudukan selang tiga minit kemudian menerusi Firdaus Azizul.
Norzaiful Zaizurin kemudiannya meletakkan SAINS FC didepan hasil jaringannya pada minit ke-56 sebelum Rafiq Shah melebarkan penguasaan menerusi gol ketiga minit ke-70.
Aksi di Stadium UPM, Serdang pula memperlihatkan penguasaan penuh pasukan tuan rumah iaitu Harini Selangor FT selepas membenam cabaran Sarawak United FC, 3-0.
Gol-gol tuan rumah dijaringkan Fikri Mohamed minit ke-36, Pravin (m-53) dan bekas pemain kebangsaan Khyril Muhymeen minit ke-74.