AFL

KELAB Bola Sepak Persada Integriti Bersatu (PIB) Shah Alam FC mula merasai tekanan mempertahankan kejuaraan Liga M3 selepas hanya menguti satu mata dari dua perlawanan.

Seri tanpa jaringan berdepan Manjung City FC minggu lalu, anak didik Yusrizal Yusoff dikejutkan dengan kekalahan 0-1 ditangan Sains FC pada aksi di Stadium USIM, Nilai, Sabtu.

Bagi Yusrizal, setiap pasukan berdepan PIB Shah Alam FC akan turun dengan penuh semangat tinggi untuk mengatasi penyandang juara.

“Sama juga macam pasukan yang menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), itulah yang kami rasakan dan perkara seumpama ini tidak boleh dipandang remeh, mungkin ada sedikit kesilapan dan kami perlu terima hakikat.

“Tekanan itu memang dirasai tidak boleh dinafikan namun saya percaya pasukan akan bangkit pada perlawanan akan datang, baru dua perlawanan,” katanya kepada AFL.

Mengulas aksi kekalahan tipis pasukannya itu, Yusrizal menyifatkan bola sepak ini adalah kejam dan menerima kekalahan.

“Kami memiliki beberapa peluang menjaringkan gol namun gagal diterjemahkan dengan jaringan, nasib tidak menyebelahi kami.

“Bola sepak ini kejam, kami serang bertali arus, lawan yang hanya memiliki satu peluang menterjemahkannya dengan jaringan,” tegasnya.

Cabaran getir terus menanti PIB Shah Alam FC untuk aksi seterusnya apabila menanti kunjungan Harini Selangor FT di Stadium USIM, Nilai, 18 Mac nanti.

 

 

 

March 13, 2023
Tags: ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *