KETUA jurulatih Sains FC, Hamizar Hamzah mendedahkan pasukannya tidak berada dalam tahap terbaik ketika berdepan penyandang juara Liga M3, Persada Integriti Bersatu (PIB) Shah Alam FC, Sabtu lalu.
Ujarnya situasi jelas kelihatan terutama pada babak kedua apabila pasukan lebih banyak bertahan dan hanya bertindak menerusi serangan balas untuk menambah jaringan.
“Kami tampil berdepan penyandang juara, kami belum cergas sepenuhnya, sedikit goyang dan ia dapat dilihat 45 minit babak kedua.
“Pemain mempamerkan disipilin tinggi dan bertahan sehinggalah tamat masa perlawanan,” tegasnya kepada AFL.
Mengulas kemenangan 1-0 ke atas PIB Shah Alam FC di Stadium USIM, Nilai, Hamizar menjelaskan taktikal melakukan serangan balas ternyata berhasil.
‘Kami berdepan tuan rumah yang bermain dengan laju, jadi taktikal kami hanya menunggu serta bertahan, memiliki satu peluang dan pemain melaksanakannya menerusi serangan balas yang menghasilkan gol,” katanya.
Pada aksi tersebut, jaringan tunggal Fikri Rahim pada minit ke-27 sudah cukup memberikan tiga mata penuh buat Sains FC.
KL Rovers FC kini memimpin carta liga dengan enam mata dan dibezakan jumlah tanpa bolos dengan Sains FC ditangga kedua serta Bukit Tambun FC ditempat ketiga yang turut mengutip enam mata.
Selepas dua kali bertandang ditempat lawan, Sains FC akan menanti kunjungan Kuala Kangsar BRM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Ahad ini.