AFL

USM FC tidak akan memperagakan corak permainan bertahan walaupun beraksi ditempat lawan berdepan MBMB Warrior FC pada aksi suku akhir pertama Liga A2 Amateur 2025/2026, Sabtu ini.

Bakal beraksi dengan corak menyerang dari awal permainan sehinggalah tamat, juara Zon Utara ini tidak mahu hadir ke Stadium Hang Jebat, Melaka hanya untuk meraih keputusan seri apatah lagi tewas.

Ketua jurulatih USM FC, Azizul Ahmad Sabri menegaskan barisan pemain telah dimaklumkan situasi ini dan beraksi mengikut perancangan yang telah ditetapkan.

“Persedian pasukan bertandang ke tempat lawan dalam keadaan terbaik dari segi prestasi dan komitmen selepas kita mengharungi saingan diperingkat zon.

“Saya telah tekankan kita akan beraksi secara menyerang bermula wisel perlawanan dibunyikan untuk memberikan tekanan kepada pasukan tuan rumah.

“Tiada istilah bertahan walaupun kita beraksi sebagai pelawat kerana dalam saingan seumpama ini kita perlu menang untuk melangkah ke pusingan seterusnya,” jelasnya.

Tambahnya lagi, melabelkan pasukannya sebagai pilihan menjuarai kejohanan kali ini tidak memberikan tekanan kepada pasukan.

“Sasaran utama pasukan adalah layak ke pentas akhir, bagi saya tiada yang mustahil dengan barisan pemain sedia ada terdiri pemain-pemain Piala Presiden, Bawah 23 tahun dan mereka yang berpengalaman.

“Kami mengharapkan satu persembahan yang terbaik untuk memastikan kemaraan di pentas akhir,” katanya.

Penampilan kali pertama USM FC dalam saingan Liga A2 musim ini memperlihatkan aksi yang konsisten selepas mereka mencatatkan rekod tanpa kalah pada saingan di peringkat Zon Utara untuk mengumpul 22 mata meninggalkan Kuala Perlis Titan FC dengan perbezaan 14 mata di tangga kedua.

Jadual perlawanan Suku Akhir Pertama
> 13 Disember 2025 (Sabtu)
MBMB Warrior FC vs USM FC
Stadium Hang Jebat, Melaka / 8.45 mlm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *