

YPM FC menagih sepenuhnya prestasi dan pengalaman pemain lama serta baharu yang dibawa masuk bagi memastikan tiga mata penuh berdepan AZM Rovers FC pada aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Jumaat ini.
Menyedari ianya bukan tugas mudah, Ketua Jurulatih YPM FC, Syed Farul Hakim Syied Mahmud tetap mahu anak didiknya waspada dengan ancaman lawan yang merupakan pendatang baharu dalam saingan Liga A2 Amateur musim 2025/2026.
Tegasnya, hampir 80 peratus pemain lama dikekalkan untuk musim ini selain beberapa muka baharu yang berpotensi telah diserapkan untuk memperkuatkan pasukan.
“Pasukan masih diperkuatkan dengan khidmat Azammuddin Akil atau lebih mesra dengan panggilan Alex, Syawal Norsham, Shahrul Aizad dan Amir Eimran selain kembalinya Faisal Rosli bersama pasukan.
“Kemasukan pemain-pemain muda (Bawah 23 tahun / Piala Presiden) juga antara eleman yang kita yakin mampu memberikan impak,” ujarnya kepada AFL.

Tambahnya lagi, pasukan yang berpengkalan di Kuantan ini telah menjalani latihan pra musim dengan cukup meyakinkan sejak Julai tahun ini.
“Beberapa siri perlawanan persahabatan telah diadakan sama ada di sekitar Kuantan mahu pun ditempat lawan dengan prestasi yang memuaskan.
“Masih banyak lagi boleh diperbaiki dan apa yang boleh saya katakan pasukan kini betul-betul bersedia untuk mengharungi Liga A2 Amateur 2025/2026,” katanya.
Diminta mengulas kekuatan lawan, Syed Farul Hakim menyifatkan AZM Rovers FC satu pasukan berkualiti memandangkan mereka beraksi dalam Liga A2 dengan status “naik pangkat”.
“Kita tahu mereka sebelum ini beraksi dalam saingan Liga A3 Community dan membuktikan kemampuan dengan layak secara merit, jadi kami perlu waspada dengan kekuatan lawan.
“Pemain telah dimaklumkan potensi lawan dan peranan yang dilakukan disepanjang perlawanan Jumaat ini,” ujarnya yang mengharapkan langkah kanan pada aksi pertama Zon Pantai Timur.
> 12 September 2025 (Jumaat)
YPM FC lwn AZM Rovers FC
Stadium Darul Makmur, Kuantan / 8.45 malam
#afl
#ligaa2amateur
#ligauntuksemua