

MELAKA FC melakar kejayaan gemilang dalam saingan Liga A1 Semi Pro MBSB Bank Championship 2024-2025 apabila merekodkan 22 kemenangan, lima seri dan satu kekalahan untuk mengumpul 71 mata yang memastikan gelaran kejuaraan.
Turun pada aksi terakhir di Stadium Hang Jebat berdepan Machan FC, anak didik K Devan tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan di hadapan penyokong setia tuan rumah.
Pada perlawanan tersebut, penyerang import dari Ghana, Fuseini Issah tampil cemerlang dengan jaringan hatrik bagi membantu Melaka FC meraih kemenangan besar.
Bagaimanapun, tuan rumah dikejutkan dengan jaringan pembukaan pasukan pelawat pada minit ke-12 menerusi Haziq Shah Putra Zulkafli.
Tersentak dengan jaringan itu, tuan rumah segera menggandakan asakan dan berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Mohd Fakrullah Rosli pada minit ke-19.
Tiga minit kemudian, Fuseini menambah jaringan buat Melaka FC selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-22 sebelum sekali lagi meledak pada minit ke-33.
Dua minit sebelum tamat separuh masa pertama, Fuseini terus menambah jaringan pada minit ke-43 selepas memperdaya penjaga gol Machan FC, Muhammad Aqiel Danish Mohd Nasir.
Memasuki babak kedua, tuan rumah semakin agresif menerusi ketua pasukan Nasir Basharuddin mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-53, diikuti jaringan Nizaruddin Jazi pada minit ke-64.
Machan FC berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan kedua Haziq Shah Putra pada minit ke-89, namun Nizaruddin memastikan kemenangan bergaya Melaka FC dengan gol pada minit ke-90 sebelum wisel penamat dibunyikan.
Selaku juara Melaka FC membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000. Lebih manis juga apabila gelaran penjaring terbanyak dirangkul penyerang mereka Abdul Azim Rahim dengan 22 gol untuk mengekalkan rekod yang dimiliki musim lalu.

Majlis Penyerahan Piala dan Pingat Juara MBSB Bank Championship 2024-2025 telah disempurnakan Yang Di-Pertua Negeri Melaka,Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Majlis tersebut juga dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Majlis FIFA, Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Haji Bin Mohd Amin, Presiden FAM yang baharu, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi yang juga merupakan Pengerusi Amateur Football League (AFL).
Hadir sama SUK Negeri Melaka, Dato’ Azhar Hj Arshad, Presiden Melaka FC, Datuk Wira Nur Azmi Ahmad, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Bin Haji Rahman dan barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM 2025-2029 serta para penaja AFL.
