

MENAMATKAN saingan di tangga ketiga musim lalu, Kedah FA kini tampil lebih agresif dan cukup bersedia bukan sahaja dari kualiti, persefahaman dan keyakinan pemain malah staf kejurulatihan.
Pelantikan bekas pemain kebangsaan dan Kedah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli sebagai Ketua Jurulatih Kedah FA bagi mengharungi saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2026/2027 membuktikan betapa seriusnya pasukan yang berpengkalan di Alor Setar ini.
Dibarisi hampir 90 peratus pemain tempatan yang dianggap masih muda selain kombinasi beberapa pemain berpengalaman dalam pasukan, anak didik Akmal Rizal kini dilihat sudah bersedia sepenuhnya menjelang sepak mula penghujung Ogos ini.
Bagi Akmal Rizal, pasukan telah menjalani persediaan awal dengan latihan-latihan bagi menguji tahap kecergasan dan juga persefahaman selain menilai beberapa muka baharu bagi memperkuatkan pasukan.
“Apa yang penting pemain memahami taktikal yang kita mahukan, beberapa perlawanan persahabatan berjalan dengan lancar mengikut perancangan.
“Kita mahukan persiapan yang terbaik untuk lihat sejauh mana kekurangan pasukan serta apa yang perlu ditambah baik dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik.
“Pasukan sudah menandatangani pemain tempatan sedia ada danbakinya pemain baharu. Kita juga telah mendapatkan pemain import bagi posisi tengah berasal dari Ghana iaitu, Anthony Arthur.

“Skuad juga akan dibarisi pemain import diposisi pertahanan dan penyerang dimana ketika kita sedang menilai dan menguji dalam beberapa siri perlawanan persahabatan,” ujarnya kepada AFL.
Diminta mengulas sasaran yang diletakkan kepadanya, Akmal Rizal mahu pasukan menamatkan saingan musim 2026/2027 dengan keputusan lebih baik atau sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian lalu.
“Pastinya saya mahukan pencapaian yang lebih baik sebagaimana sasaran (KPI) yang diletakkan kepada saya, Insyallah kami akan berusaha memastikan keputusan yang lebih cemerlang,” tegasnya.
Tambahnya lagi dia tidak melihat gelaran kejuaraan dalam perlawanan persahabatan menjadi sasaran utama kerana baginya inilah peluang untuk dia melihat kemampuan anak didiknya.
“Lima perlawanan persahabatan menentang pasukan Amatur yang beraksi di Liga Kedah dan tiga pasukan dari Liga A1 Semi-Pro serta Liga Super.
“Tercapai objektif utama pasukan dimana kita mahu melihat semua pemain beraksi dan mengikut taktikal yang dirancang, apa yang dapat saya katakan pemain mahu mereka berada dalam kesebelasan utama, merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Sekarang tugas saya bukan mudah, semua pemain boleh diturunkan bagi menggalas tugas,” ujarnya yang membawa pasukan menjuarai Kejohanan Empat Penjuru Sri Semantan Cup 2026 yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan.

Selain Kedah FA, Kelantan City FC , Perak FA dan Penang FC turut menyertai kejohanan tersebut sebagai persediaan menjelang saingan musim 2026/2027.
Jadual lima perlawanan awal Kedah FA :-
> 29 Ogos 2026 (Sabtu)
Kedah FA vs Imigresen FC II
(Stadium Darul Aman, Alor Setar / 8.45 mlm)
> 6 September 2026 (Ahad)
Negeri Sembilan FC II vs Kedah FA
( Stadiunm Tampin, Negeri Sembilan / 4.45 ptg)
> 12 September 2026 (Sabtu)
Kedah FA vs Armed Forces FC
(Stadium Darul Aman, Alor Setar / 8.45 mlm)
> 25 September 2026 (Jumaat)
Kelantan City FC vs Kedah FA
(Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu / 8.45 mlm)
> 3 Oktober 2026 (Sabtu)
Selangor FC II vs Kedah FA
(Stadium UiTM, Shah Alam / 4.45 ptg)
> Info ringkas Kedah FA
Ketua Jurulatih : Akmal Rizal Ahmad Rakhli
Gelanggang : Stadium Darul Aman, Alor Setar
Pencapaian musim lalu : Tempat ketiga
Sasaran : Kelompok tiga terbaik
#AFL
#ligaa1semipro20262027
#ligauntuksemua
