
KELANTAN CITY FC mensasarkan gelaran kejuaraan dalam saingan Liga A1 Semi-Pro 2026/2027 yang bakal membuka tirai saingan penghujung Ogos ini.
Dibarisi ramai pemain berpengalaman yang digabungkan bersama pemain sedia ada dilihat kelibat utama yang ada pada pasukan yang berpengkalan di Kota Bharu, Kelantan ini.
Pengurus pasukan Kelantan City FC, Wan Muhd Ridhuan Wan Abdullah berkata, sasaran ini adalah realistik berdasarkan persiapan yang telah dirancangan selepas tamatnya saingan musim lalu.
“Kita memiliki pemain-pemain berkualiti dan persiapan yang telah dijalankan pada peringkat awal baik dari segi pemain, jurulatih mahu pun pengurusan.
“Jadi bagi saya Kelantan City FC perlu menamatkan saingan musim ini dengan gelaran kejuaraan,” katanya.

Tambahnya lagi, beberapa siri perlawanan persahabatan yang diadakan memberikan banyak pendedahan kepada pemain dan juga jurulatih untuk mempersiapkan pasukan.
“Jurulatih telah menilai pemain dari segi kecergasan dan kesefahaman dalam beberapa siri perlawanan persahabatan yang kita adakan.
“Alhamdulillah kita telah mengenalpasti beberapa kelemahan dan kekuatan yang ada dalam pasukan, mereka (pemain) semua telah bersiap sedia dan hanya menunggu sepak mula saingan bagi memperagakan kualiti yang ada,” jelasnya.
Mengulas mengenai kehadiran ramai pemain bintang dalam pasukan, Wan Ridhuan melihat situasi ini adalah kelebihan buat pasukan.
“Bagi saya tanggapan yang mengatakan memiliki ramai pemain berpengalaman agar sukar untuk dikawal adalah tidak benar sama sekali kerana saya berpengalaman dalam isu seumpama ini.
“Mereka (pemain berpengalaman) tahu apa yang perlu mereka lakukan baik didalam padang, semasa latihan mahupun diluar padang, jadi bagi saya ini adalah kelebihan buat pasukan,” tegasnya.
Beberapa pemain berpengalaman yang menyertai Kelantan City FC adalah Muhammad Hadin Azman, Nazrin Nawi dan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria
Kelab ini mempunyai kaitan kuat dengan generasi pemain Kelantan era Treble 2013 dalam pengurusan dan kejurulatihan antaranya Badhri Radzi, Daudsu Jamaludin, Farisham Ismail dan Zairul Fitree Ishak.
Secara keseluruhan, Kelantan City FC dibina dengan konsep gabungan legenda, pemain berpengalaman dan pemain muda dengan sasaran membina semula kekuatan bola sepak Kelantan secara lebih profesional.

Jadual lima perlawanan awal Kelantan City FC :-
> 29 Ogos 2026 (Sabtu)
Malaysia University- UiTM vs Kelantan City FC
(Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu / 8.45 mlm)
> 5 September 2026 (Sabtu)
Manjung City FC vs Kelantan City FC
( Stadium Majlis Perbandaran Manjung / 8.45 mlm
> 12 September 2026 (Sabtu)
Kelantan City FC vs Perak FA
(Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu / 8.45 mlm)
> 25 September 2026 (Jumaat)
Kelantan City FC vs Kedah FA
(Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu / 8.45 mlm)
> 2 Oktober 2026 (Jumaat)
Bunga Raya FC vs Kelantan City FC
(Arena IRC Sendayan, Negeri Sembilan / 4.45 ptg)
#AFL
#ligaa1semipro20262027
#ligauntuksemua
