AFL

TONGGAK pertahanan Malaysia University, Adam Amirul Danish Roslee menyifatkan saingan Liga M3 memberi ruang bermakna buat dirinya untuk terus bersaing dan melangkah lebih jauh sebagai seorang pemain bola sepak.

Merupakan pemain paling muda dalam saingan Liga M3 musim ini, Adam menyimpan hasrat mengunung tinggi dalam karier bola sepak iaitu impian menyarung jersi skuad kebangsaan.

“Impian saya berada dalam skuad Harimau Malaya pada masa akan datang, ketika ini saya baru berusia 18 tahun, saya perlu bekerja keras untuk membuktikan kemampuan bersama Malaysia University.

“Beraksi dalam saingan Liga M3 yang cukup kompetitif memberikan pengalaman berharga buat saya dan juga rakan-rakan sepasukan yang lain,” ujar pemain kelahiran Johor ini.

Adam (kiri mahu memanfaatkan sepenuhnya saingan Liga M3 untuk melonjakkan namanya.

Bekas pemain Akademi Felda ini mengakui berdepan sedikit tekanan bermain pada usia muda namun ianya berjaya diatasi selepas mendapat sokongan jurulatih dan rakan sepasukan.

“Mulanya agak tertekan kerana belum menyesuaikan diri, namun selepas beberapa aksi persahabatan dan saingan Liga M3 semua ini berjaya diatasi dan semangat ingin memburu kejayaan serta kemenangan sentiasa berada dalam fikiran setiap kali turun beraksi,” jelasnya.

Adam diturunkan sebagai pemain gantian separuh masa kedua pada aksi pertama menentang KL Rovers sebelum dia mendapat kepercayaan penuh diturunkan selaku kesebelasan utama untuk perlawanan berdepan Naga Ultimate KS FC dan Sarawak United FC.

Profil Ringkas

Nama :Adam Amirul Danish Bin Roslee
Tarikh Lahir : 25 Februari 2005
Asal : Johor
No jersi : 2
Pasukan terdahulu : Akademi Felda
Posisi : Pertahanan tengah
Cita-cita dan Impian : Mewakili Malaysia
Idola : Lisandro Martinez (Argentina)
Makanan pilihan : Mee
Apa yang akan anda buat jika jadi jutawan : Membantu keluarga
Kelab bola sepak diminati (dalam / luar negara) : Manchester United

April 6, 2023
Tags: ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *