AFL

CABARAN saingan Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024-2025 diteruskan dengan penyertaan 15 pasukan selepas Kelantan FC menarik diri.

Lima pasukan baharu dan 10 pasukan sedia ada bakal mengharungi 210 perlawanan sepanjang kejohanan yang akan memulakan tirai 1 Jun 2024 dan berakhir Februari 2025.

Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, semua pasukan telah diberikan tempoh lanjutan pendaftaran pemain sehingga 24 Mei 2024 (Jumaat).

“Walau bagaimanapun Kelantan FC membuat keputusan untuk menarik diri memandangkan pasukan terbabit masih lagi dikenakan sekatan perpindahan pemain oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyebabkan mereka hanya boleh mendaftar pemain sedia ada.

“Walaupun Kelantan FC telah berusaha sebaik mungkin, namun mereka tidak berjaya mendaftarkan minimum 20 pemain sebagaimana yang kita tetapkan kepada semua pasukan” katanya.

Mohd Yusoff berkata, kejohanan yang kini memasuki musim kedua penganjuran dengan penaja utama iaitu MBSB Bank memperlihatkan keyakinan dan sokongan pemain-pemain industri bola sepak tempatan terhadap MBC 2024/25.

“Secara rasmi 15 pasukan ini adalah Armed Forces FC, Harini Selangor FT, Imigresen FC, Malaysian University, Melaka FC, YPM FC, Manjung City FC, PIB Shah Alam.

“Turut menyahut cabaran adalah Bukit Tambun FC, Machan FC, Gombak FC, Bunga Raya Damansara FC, KL Rovers, UiTM United dan PT Athletic FC,” katanya.

Pada kejohanan MBSB Bank Championship musim lalu, gelaran kejuaraan hanya diketahui pada aksi terakhir saingan liga diantara Imigresen FC, KL Rovers dan Harini Selangor FT dimana skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris dinobatkan juara selepas menewaskan Melaka FC di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Tiga mata tersebut memastikan Imigresen FC menamatkan 24 perlawanan untuk mengutip 55 mata hasil 17 kemenangan, empat seri dan tiga kekalahan manakala KL Rovers  dikedudukan kedua dengan hanya dibezakan satu mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *