AFL
Imigresen FC selaku juara bertahan akan turun berdepan UiTM United di Stadium UiTM, Shah Alam malam esok.

PENYANDANG juara MBSB Bank Championship, Imigresen FC tetap waspada dengan tentangan UiTM United menjelang aksi sulung menentang lawan di Stadium UiTM, Shah Alam, malam esok.

Tuan rumah yang menanti kunjungan Mighty Tigers dengan reputasi selaku juara Al Ikhsan Cup 2023 yang kini dikenali Liga A2 Amateur pastinya ingin memulakan saingan dalam Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024/2025 dengan langkah kanan.

Bagi Ketua jurulatih IFC, Mat Zan Mat Aris, pertembungan juara antara juara ini pastinya sengit dan menarik walaupuan ia merupakan aksi sulung buat kedua-dua pasukan.

“Kita sebenarnya tidak tahu kekuatan pasukan lawan (UiTM United), yang penting pasukan perlu bersedia untuk hadapi mana-mana pasukan dalam saingan Liga A1 Semi-Pro ini.

“Kalau kita lihat mereka layak selepas menjuarai Liga Al Ikhsan musim lalu, mesti ada kelebihan, jadi kita kena sediakan pasukan untuk berdepan lawan,” katanya.

Sementara itu, bagi pengendali UiTM United, Mohd Yazli Yahya mengakui berdepan pasukan lawan yang memiliki kualiti tersendiri sehingga mereka bergelar juara musim lalu.

“Bila sebut tentang lawan, saya rasa dari pemain, jurulatih hinggalah pengurusan semuannya mempunyai kualiti yang berkualiti dan sebagai pasuka baharu kami menghormati IFC.

“Namun dalam bola sepak semuannya boleh berlaku, pemain telah diberitahu bahawa inilah pentas terbaik buat kamu semua mempamerkan kualiti yang ada untuk bersaing dengan pasukan-pasukan lain.

“Menentang lawan malam esok, saya lebih memberikan tumpuan kepada persiapan pasukan dan mengharapkan barisan pemain tidak terlalu gugup apabila diturunkan,” tegasnya.

Kejohanan Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024/2025 yang disertai 15 pasukan akan memulakan tirai memburu kejuaraan bermula Sabtu dan Ahad ini dengan enam perlawanan bakal berlangsung.

15 pasukan yang akan memeriahkan kejohanan bermula 1 Jun 2024 dan dijangka selesai Februari 2025  adalah Armed Forces FC, Harini Selangor FT, Imigresen FC, Malaysian University, Melaka FC, YPM FC, Manjung City FC, PIB Shah Alam.

Turut menyahut cabaran adalah Bukit Tambun FC, Machan FC, Gombak FC, Bunga Raya Damansara FC, KL Rovers, UiTM United dan PT Athletic FC.

Selain pertembungan UiTM United menentang IFC di Stadium UiTM Shah Alam pada 1 Jun (Sabtu), turut sama memulakan aksi sulung adalah PIB FC bertemu Melaka FC, Gombak FC menanti kunjungan Bukit Tambun FC dan YPM FC bertandang ke tempat lawan berdepan Manjung City FC.

Dua lagi perlawanan bakal diadakan pada 2 Jun (Ahad) iaitu Bunga Raya Damansara FC berdepan Harini Selangor FT manakala KL Rovers menentang Armed Forces FC.

 

Jadual Penuh Perlawanan Minggu Perlawanan 1

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *