KETUA Jurulatih Melaka FC, K Devan mengakui tiga mata penuh diraih pada aksi sulung Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024-2025 umpama suntikan semangat untuk meneruskan kemenangan berdepan Gombak FC, Sabtu ini.
Menanti kunjungan Gombak FC di Stadium Hang Jebat, Melaka, bekas pengendali Negeri Sembilan FC ini melihat bukan tugas mudah buat anak didiknya memandangkan lawan turut meraih kemenangan pertama di tempat sendiri, minggu lalu.
Tegasnya, masih terlalu awal untuk berpuas hati dan mereka perlu bekerja keras walaupun membawa pulang tiga mata menewaskan PIB Shah Alam, 4-1.
“Banyak lagi perlu diperbaiki serta dipertingkatkan memandangkan ini baru perlawanan pertama kita dan masih banyak lagi perlu ditempuhi.
“Positifnya berdepan Gombak FC ini kita bermain di laman sendiri dan saya percaya pemain akan lebih bersemangat memburu kemenangan kedua,” katanya.
Tambahnya lagi, berdepan skuad bimbingan Shahrom Kalam bukan tugas mudah dan pemain tidak boleh memandang ringan kemampuan pasukan lawan.
“Kami menghormati lawan, mereka turut menang pada aksi pertama, jadi saya yakin perlawanan akan menarik hujung minggu ini,” tegasnya yang enggan memikirkan status pasukan pilihan pada kejohanan kali ini.
Sementara itu, bagi Shahrom, walaupun pasukan meraih tiga mata namun berkunjung ke Stadium Hang Jebat bukanlah mudah.
“Melaka memiliki kualiti pemain dan juga jurulatih berpengalaman, kita berpijak dibumi yang nyata, cuba hadapi lawan dan tekad bawa pulang mata ke Kuala Lumpur,” jelasnya.
Mengulas impak duo Melaka FC iaitu Azim Rahim dan penyerang import, Fuseini Issah yang beraksi cemerlang ketika membantu pasukan membenam PIB Shah Alam, 4-1, Shahrom yang juga bekas pemain Kuala Lumpur, Selangor dan Perak memiliki strategi tersendiri.
“Bagi kami persediaan adalah pasukan sendiri dan bukannya pasukan lawan yang kita tahu mereka memiliki pemain yang berpotensi,” ujarnya.
Selain pertembungan Melaka FC menentang Gombak FC, enam lagi perlawanan bakal berlangsung pada minggu kedua Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024-2025 antaranya, Machan FC menanti kunjungan Manjung City FC.
Turut beraksi adalah YPM FC berdepan PIB Shah Alam, PT Athletic FC menentang Bukit Tambun FC , Armed Forces FC bertemu Bunga Raya Damansara FC dan UiTM United menanti kunjungan KL Rovers di Stadium UiTM, Shah Alam.
Hanya satu perlawanan bakal berlangsung pada hari Ahad (9 Jun) iaitu Harini Selangor FT menentang Imigresen FC di Stadium Utama, Kuala Selangor.
Jadual Penuh Perlawanan Minggu Perlawanan 2