AFL

MENAMATKAN saingan Liga M3 musim lalu selaku naib juara, Kuala Lumpur Rovers tampil lebih dinamik dan versatil dengan sasaran empat terbaik perlu dicapai.

Dibimbing jurulatih berpengalaman yang tidak asing lagi, Wan Mustaffa Wan Ismail, KL Rovers dibarisi beberapa pemain berpengalaman antaranya Mohd Firdaus Mohd Faudzi (KL City FC), Nazrul Kamaruzaman (Negeri Sembilan) dan juga Gopi Rizki Ramachandra (Penang FC).

Bagi Wan Mustaffa, penyertaan dalam Liga M3 sudah pasti ingin memburu kejuaraan namun pada masa sama dijadikan pentas mencungkil bakat-bakat untuk diketengahkan dalam skuad utama.

“Pengurusan telah memberi beberapa saranan pada saingan musim ini, tumpuan pastinya kepada pembangunan bakat-bakat muda yang merupakan pemain yang boleh memberikan sokongan kepada pasukan terutamanya skuad bawah 23 tahun dan juga skuad KL City FC.

“Selaku jurulatih pastinya saya ingin membawa pasukan berada ditahap yang tinggi dan pergi sejauh mungkin,” katanya.

Sebahagian pemain KL Rovers yang bakal mengalas cabaran musim ini.

Tambahnya lagi, skuad bimbingannya kali ini dibarisi beberapa pemain berpengalaman, pemain sedia ada dan juga muka-muka baharu yang dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan.

“Rata-rata pemain kita berusia 25 tahun kebawah selain tonggak berpengalaman yang pernah beraksi dalam Liga Super sebelum ini.

“Pasukan kini boleh dikatakan sudah bersedia dan saya percaya mereka mampu memberikan saingan dalam pentas Liga M3 kali ini,” tegasnya.

INFO RINGKAS KUALA LUMPUR ROVERS

Presiden Kelab :

Pengurus : Muhammad Shahir Mois

Ketua Jurulatih : Wan Mustaffa Wan Ismail

Penolong Ketua Jurulatih : Haswanis Che Hassan

Jurulatih Kecergasan : Mohammad Hafizi Salim

Jurulatih Penjaga Gol : Khairul Nizam Mohd Taib

Physio : Mohd Fadli Kamarulzaman

Kit Man : Rizal Abdul Manan

Pegawai Media : Raja Munawir Raja Baharuddin

Pegawai Keselamatan : Airul Azly Jaafar

Gelanggang : Stadium UPM, Serdang

Pencapaian musim lalu : Naib Juara Liga M3

Pemain tumpuan : Gopi Rizki, Firdaus Faudzi

Laman Sosial :

Facebook Page :klrovers

Instagram : @klrovers

February 28, 2023
Tags: ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *