AFL
Barisan kesebelasan utama Bukit Tambun FC yang menjadi taruhan dalam saingan MBC musim lalu.

DIAM-DIAM ubi berisi itulah gambaran buat Bukit Tambun FC yang menamatkan saingan MBSB Bank Championship (MBC) 2023 dikelompok empat terbaik.

Bersemangat untuk meneruskan saingan MBC 2024/25, Bukit Tambun FC akan tampil dengan keyakinan baharu berdasarkan barisan pemain sedia ada serta beberapa muka baharu yang diketengahkan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bukit Tambun FC, Goh Choon Aik menjelaskan pasukan akan lebih menekankan pendedahan minit perlawanan kepada bakat-bakat baharu dalam usaha mengetengahkan mereka.

“Untuk saingan kali ini, boleh dikatakan barisan pemain berpengalaman akan dikekalkan bagi memperkuatkan pasukan selain membimbing pemain-pemain baharu yang akan dibawa masuk serta sedia ada.

“Tidak banyak perubahan ketara, tetapi kami memberi jaminan akan memberikan saingan kepada pasukan-pasukan lain dan kita juga tahu kebenaran setiap pasukan menggunakan pemain import akan memastikan saingan lebih kompetitif dan berkualiti,” katanya kepada AFL.

Syukur Saidin (kanan) antara pemain yang menyerlah musim lalu dan menjadi igauan pertahanan lawan.

Tambahnya lagi, menyedari pasukan lain akan tampil dengan semangat  baharu mengharungi MBC 2024/25, Bukit Tambun FC meletakkan sasaran kelompok empat terbaik sebagaimana diraih musim lalu.

“Sasaran kami jelas iaitu empat terbaik dan dalam masa sama memberi pendedahan kepada pemain-pemain muda, para pemain yang akan bersama pasukan diharapkan agar terus konsisten dengan prestasi yang ditampilkan musim lalu,” tegasnya.

Pencapaian Bukit Tambun FC musim 2023

Nama pasukan : Bukit Tambun FC

Venue: Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan

Rekod MBSB Bank Championship 2023

– Menang : 14

– Seri : 3

– Kalah : 7

– Jaringan : 36 gol

– Bolos : 27 gol

– Mata keseluruhan : 45 mata

– Penjaring terbanyak : Syukur Saidin, Husnul Irsal, Fauzi Abd. kadar (7 gol)

– Pemain paling menyerlah :  Husnul Irsal, Syukur Saidin

– Pemain muda menyerlah : Asyraaf Izal (23 tahun)

– Pencapaian : Tempat keempat

March 14, 2024
Tags: ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *