HANYA menang tipis 1-0 ke atas Kuala Kangsar BRM FC minggu lalu, Imigresen FC kini menyusun strategi untuk memastikan lebih banyak jaringan terhasil menjelang pertemuan menentang Armed Forces (AFFC).
Pengendalinya, Mat Zan Mat Aris berkata, berdepan lawan yang mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika menentang Perlis United FC minggu lalu bukanlah mudah.
“Apa yang kami tahu lawan (AFFC) memiliki kelebihan dari segi kecergasan (stamina) kerana pasukan dibarisi anggota tentera.
“Berdepan mereka pastinya pemain perlu memberikan lebih 100 peratus aksi kerana kami mahukan tiga mata penuh untuk meneruskan rentak kemenangan.
“Pemain telah diingatkan dengan tugas masing-masing dan kami harapkan segala perancangan berjalan lancar,” katanya kepada AFL.
Pada aksi pertama di padang Astaka, Sitiawan Perak, Sabtu lalu, The Mighty Tigers terpaksa menunggu sehingga ke masa tambahan separuh masa kedua untuk menjaringkan gol menerusi Azim Rahim.
Mengulas ketumpulan jentera serangannya, Mat Zan menjelaskan perkara ini akan diatasi menjelang aksi kedua berdepan AFFC.
“Sebenarnya bahagian tengah kita kurang berfungsi sebelum ini menyebabkan bola tidak sampai dibahagian serangan, tetapi untuk aksi petang ini kita akan berusaha untuk memburu kejayaan,” katanya.