JARINGAN gol pemain gantian, Mohd Nasir Basharuddin pada masa kecederaan separuh masa kedua menyelamatkan maruah Harini Selangor FT apabila seri 3-3 menentang Melaka FC di Stadium UPM, Serdang, sebentar tadi.
Harini Selangor FT yang tampil sebagai pasukan pilihan beraksi tanpa beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan manakala Melaka FC yang kalah 1-3 ditangan Sains FC pastinya ingin bangkit memburu tiga mata.
Tuan rumah ketinggalan seawal minit ke-13 hasil jaringan pemain tengah Melaka FC, Farid Khazali menerusi serangan balas untuk menewaskan penjaga gawang Harini Selangor FT, Hafizul Hakim.
Gol tersebut tidak bertahan lama apabila N Thanabalan berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan pada minit ke 32 untuk memastikan kedua-dua pasukan beredar ke bilik persalinan dengan keputusan 1-1.
Memasuki babak kedua, penyerang Melaka FC, Guilherme De Paula mula mempamerkan taring selaku peledak berbisa setelah menjaringkan gol selang lima minit separuh masa kedua berlangsung.
Kelebihan jaringan gol dimiliki Melaka FC tidak bertahan lama apabila D Kugan menyamakan kedudukan selang empat minit kemudian untuk kedudukan 2-2.
De Paula terus mempamerkan impak buat pasukan apabila menjaringkan gol ketiga pasukan dan kedua peribadi pada minit ke-61 untuk meletakkan pasukan buat kali ketiga didepan.
Ketika tiga mata penuh bakal menjadi milik pelawat, Nasir atau lebih mesra dengan gelaran Acer memastikan impian tersebut tidak menjadi kenyataan setelah menjaringkan gol ketiga dan penyamaan buat Harini Selangor FT.
Sementara itu pada satu lagi perlawanan yang berlangsung di Stadium Manjung, tuan rumah Manjung City FC gagal meraih mata selepas tewas 0-2 ditangan Kuala Kangsar BRM FC.
Gol pelawat dijaringkan Faiz Hanif pada minit ke-40 sebelum Nuriqmal Tumin meledak gol kedua selang 10 minit babak kedua bersambung untuk memastikan kemenangan pertama Kuala Kangsar BRM FC.