AFL

PENJENAMAAN semula nama dan logo pertandingan anjuran Amateur Football League (AFL) bukan sahaja bertujuan untuk keseragaman  AFL malah ianya juga diharap dapat menarik lebih ramai penaja berpotensi untuk sama-sama memperkasakan lagi sukan ini.

Selepas kali terakhir penjenamaan logo dilakukan pada 2019, kini semua kejohanan anjuran AFL yang semakin mendapat tempat dikalangan penggiat industri bola sepak tempatan diberikan nafas baharu seiring dengan perkembangan semasa.

Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, kali terakhir penjenamaan logo dan nama kejohanan anjuran AFL dibuat adalah pada 2019 dan kini ia sudah memasuki tahun keenam.

“Perubahan perlu kepada titik permulaan dan kita sememangnya kini dalam usaha untuk meningkatkan nilai komersial kejohanan.

“AFL akan menjenamakan semula nama dan logo pertandingan dengan memperkenalkan Liga A1 Semi Pro sebagai nafas baharu kepada Liga M3, Liga A2 (dahulu dikenali sebagai Liga M4) dan Liga A3 Komuniti  (dahulu dikenali sebagai Liga M5).

Mengulas Kejohanan MBSB Bank Championship (MBC) 2024/25 yang bakal berlangsung pada Jun 2024 ini, Mohd Yusoff memaklumkan 16 pasukan bakal berentap memburu gelaran kejuaraan.

Kejohanan yang kini memasuki musim kedua penganjuran dengan penaja utama iaitu MBSB Bank menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu 14 pasukan bakal berlangsung pada 1 Jun 2024.

Tambahnya lagi, pertambahan bilangan penyertaan memperlihatkan keyakinan dan sokongan pemain-pemain industri bola sepak tempatan terhadap MBC 2024/25.

“Secara rasmi 16 pasukan ini adalah Armed Forces FC, Harini Selangor FT, Imigresen FC, Malaysian University, Melaka FC, YPM FC, Manjung City FC, PIB Shah Alam FC.

“Turut menyahut cabaran adalah Bukit Tambun FC, Machan FC, Gombak FA, Bunga Raya FC, KL Rovers, UiTM United, Kelantan FC dan Putrajaya Athletic FC,” katanya selepas merasmikan Majlis penjenamaan semula nama dan logo pertandingan anjuran Amateur Football League (AFL) di Hotel Armada, Petaling Jaya, hari ini.

Pada kejohanan MBSB Bank Championship musim lalu, gelaran kejuaraan hanya diketahui pada aksi terakhir saingan liga diantara Imigresen FC, KL Rovers dan Harini Selangor FT dimana skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris dinobatkan juara selepas menewaskan Melaka FC di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Tiga mata tersebut memastikan Imigresen FC menamatkan 24 perlawanan untuk mengutip 55 mata hasil 17 kemenangan, empat seri dan tiga kekalahan manakala KL Rovers dikedudukan kedua dengan hanya dibezakan satu mata.

April 18, 2024
Tags: ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *