

PERAK FA mahukan kemenangan ke atas Bunga Raya FC untuk dijadikan tonik sebelum berdepan Johor Darul Ta’zim II pada aksi yang bakal berlangsung di Kompleks Bolasepak Perak, Chepor.
Ketua jurulatih Perak FA, Shamsul Saad bagaimanapun menegaskan ianya bukanlah tugas mudah memandangkan Bunga Raya FC hadir dengan semangat memburu kemenangan.
“Bunga Raya merupakan sebuah pasukan yang sukar diramal, mereka mempunyai disiplin yang sangat baik ketika bertahan dan melakukan serangan balas untuk mendapatkan gol.
“Jadi bagi saya ianya bukanlah tugas mudah, sikap dan komitmen pemain mestilah 100 peratus fokus, disiplin pada apa jua strategi yang akan dirancang.
“Misi kita tetap untuk mencari tiga mata,” jelasnya.

Tambahnya lagi, kemenangan ke atas Kedah Darul Aman FC sebelum ini perlu diteruskan kerana sasaran kita adalah memperbaiki kedudukan dalam saingan.
“Kita bersyukur berjaya mengutip mata-mata penting pada perlawanan yang sepatutnya.Kami semua telah sepakat untuk mula mendaki dan tidak lagi tercicir mata.
“Sebelum turun menentang JDT II, kita kena pastikan moral dan keyakinan pasukan berada pada tahap tertinggi dan ianya hanya boleh kita dapat dengan menang perlawanan petang esok,”ujarnya.
