AFL

IMIGRESEN FC akan turun dengan rombakan barisan pemain dan juga taktikal berbeza menjelang pertembungan menentang Kuala Kangsar BRM FC pada pusingan pertama Piala FA, 2023 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras, malam esok.

Pengendalinya, Mat Zan Mat Aris menjelaskan, saingan Piala FA pastinya berbeza walaupun kedua-dua pasukan beraksi dalam saingan Liga M3.

“Kita akan melakukan sedikit rombakan khususnya barisan pemain untuk menyesuaikan taktikal yang akan digunakan pada aksi malam esok, pertembungan ini pastinya sengit kerana lawan turut sama mengimpikan kemenangan.

“Tiga perlawanan dalam saingan Liga M3 memperlihatkan kekuatan dan kelemahan pasukan dan perkara ini akan diatasi segera sebelum malam esok,” katanya kepada AFL.

Imigresen FC bangkit meraih kemenangan 3-2 mengatasi Perlis United FC.

Tambahnya lagi, kemenangan 3-2 dalam saingan Liga M3 menewaskan Perlis United FC dianggap motivasi terbaik namun pemain perlu bekerja dengan lebih kuat dan penuh disiplin.

“Pemain telah diingatkan agar sentiasa fokus sehingga tamat perlawanan dan mengikuti segala perancangan ditetapkan, kalau boleh saya ingin tamatkan perlawanan dengan masa penuh,” katanya.

The Mighty Tigers kini berada tangga keempat dalam saingan Liga M3 selepas meraih dua kemenangan dan satu seri untuk mengumpul tujuh mata manakala Kuala Kangsar BRM FC pula dikedudukan kesembilan selepas hanya mengutip tiga mata hasil satu seri dan dua kekalahan.

Pemenang bagi perlawanan ini akan bertemu Kuala Lumpur City FC pada pusingan kedua.

Barisan pemain Sains FC meraikan kemenangan menewaskan Kuala Kangsar BRM FC, Ahad lalu.

Sementara itu, Ketua jurulatih Sains FC, Hamizar Hamzah pula menyifatkan berdepan Manjung City FC ditempat lawan bukanlah tugas mudah terutamanya ini merupakan aksi pertama dalam bulan Ramadhan.

“Kita akan sediakan persiapan untuk perlawanan Piala FA , dari segi taktikal dan juga latihan selain itu mental pemain memandangkan aksi berlangsung pada hari ketiga bulan Ramadhan.

“Banyak perkara kita perlu perbaiki dan pertingkatkan, kami harap mampu pulang dengan keputusan positif,” tegasnya.

Sains FC dilihat memiliki kelebihan berdepan Manjung City FC berdasarkan dalam saingan Liga M3 apabila meraih mata penuh dalam tiga perlawanan untuk berada ditangga kedua manakala tuan rumah berada dikedudukan ke-10.

Menanti Sains FC mahupun Manjung City FC pada pusingan kedua Piala FA adalah Kelantan FC.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *