AFL

IMIGRESEN FC mempertaruhkan barisan terbaik berdepan Kuala Kangsar BRM FC untuk memastikan tiga mata penuh pada aksi di Stadium Sitiawan, Perak malam esok.

Mendapat jolokan The Mighty Tigers, skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris tampil mengakui bukan tugas mudah buat pasukannya pulang dengan noktah kemenangan.

“Kita menyedari tuan rumah bukanlah calang-calang pada musim lalu begitu juga kali ini, jadi kami perlu bersedia sepenuhnya dari segi semua aspek untuk berdepan lawan.

“Hasil beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini kita dapat mengenalpasti keserasian dikalangan pemain begitu juga beberapa kelemahan yang akan diatasi sepenuhnya.

“Kami hadir dengan matlamat kemenangan dan mengharapkan semuanya berjalan mengikut perancangan,” ujar Mat Zan ketika ditemui AFL pada sesi latihan terakhir di padang ILSAS Uniten, Bangi.

Untuk musim 2023, Imigresen FC diperkuatkan dengan beberapa pemain berpengalaman Liga Super antaranya Syamim Yahya, Azim Rahim, Hafiz Kamal, Ashmawi Yakin dan ramai lagi.

Mengulas sasaran pasukan untuk memastikan slot Liga Super 2024 milik Imigresen, Mat Zan mengakui berdepan tugas berat dalam membawa pasukanya mengharungi saingan Liga M3 musim ini.

Namun, Mat Zan percaya pemain-pemainnya mempunyai kemampuan untuk merealisasikan sasaran tersebut berikutan musim ini mereka melakukan persiapan cukup rapi.

Tambahnya lagi, dia juga mengakui saingan Liga M3 pada musim ini akan menjadi lebih mencabar apabila banyak pasukan membuat persiapan cukup rapi termasuk membawa masuk ramai pemain-pemain dari Liga Super dan Liga Perdana.

“Memang pihak pengurusan kelab mahu ke Liga Super musim depan. Jadi memang berat sasaran itu, tapi kita akan cuba ke Liga Super. Kalau boleh dapat kelompok dua teratas adalah sasaran kita.

Antara pasukan yang dilihat mampu menjadi pencabar utama kejuaraan adalah seperti Harini FT, Melaka FC, Perlis United FC dan Armed Forces FC serta PIB Shah Alam FC.

Selepas berkunjung ditempat lawan, Imigresen FC akan menanti kunjungan Armed Forces FC pada 12 Mac di Stadium UPM Serdang untuk aksi kedua.

March 3, 2023
Tags: , ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *