

PENJARING terbanyak Kelantan City FC, Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali melaungkan amaran dan keyakinan untuk memburu tiga mata penuh berdepan Johor Darul Ta’zim II, Jumaat ini.
Tegasnya, perasaan gentar berdepan lawan tidak seharusnya bermain difikirannya serta rakan sepasukan kerana Kelantan City FC juga memiliki kualiti untuk bersaing merebut kejuaraan.
“Kita perlu memberikan fokus sepenuhnya, bermain dengan penuh disipilin dan mengikut perancangan ditetapkan jurulatih. Kita tahu JDT II merupakan pasukan kuat dan berada dikedudukan teratas liga dan itu bukan alasan untuk rasa gentar.
“Berikan komitmen sepenuhnya, kerja berpasukan dan mengambil peluang yang ada sepenuhnya untuk mendapatkan kemenangan,” jelas bekas pemain Liga Bolasepak Rakyat bersama pasukan Setiu FC pada 2015 itu.

Diminta mengulas rekod tanpa kalah pasukan dalam saingan ketika ini, Fazli menyifatkan semua perlawanan ada cabaran tersendiri.
“Rekod tanpa kalah ini bukannya tekanan, sebaliknya menjadi motivasi tambahan untuk kami terus memberikan aksi yang terbaik.
“Kami tidak mahu terlalu selesa dengan rekod tersebut sebaliknya perlu kekal fokus, merendah diri serta menganggap setiap perlawanan sebagai satu cabaran baharu dan yang penting meneruskan momentum positif,” katanya yang kini mengumpul lima jaringan bersama pasukan.
