

KELANTAN CITY FC perlu melupakan kejayaan manis menewaskan Negeri Sembilan FC dalam saingan Piala FA 2026-2027 dengan tumpuan kini perlulah terarah sepenuhnya kepada saingan Liga A1 Semi-Pro 2026/2027 menentang Perak FA di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu malam ini.
Gesaan ini disuarakan Pengurus pasukan, Wan Muhd Ridhuan Wan Abdullah yang mahukan anak buahnya meraih kemenangan pada aksi pertama dilaman sendiri.
Tegasnya, kejayaan melangkah ke pentas Suku Akhir Piala FA sememangnya perlu diraikan dan menjadi kenangan berharga buat pasukan namun perjalanan pasukan masih jauh.
“Semua pemain dan kejurulatihan serta pengurusan berhak meraikan kejayaan tersebut namun kini tumpuan perlu diberikan pada aksi menentang Perak FA dalam saingan Liga A1 Semi-Pro 2026/2027.
“Saya telah ingatkan pada semua pemain agar memberikan fokus sepenuhnya pada aksi malam ini dan mengharapkan momentum kemenangan akan diteruskan,” tegasnya.

Wan Muhd Ridhuan berkata, pelawat hadir dengan reputasi peneraju liga ketika ini dan pastinya bukan tugas mudah buat Kelantan City FC.
“Semua pemain perlu memberikan komitmen sepenuhnya, tidak melakukan sebarang kesilapan mudah yang memberi ruang pada lawan, mengikuti segala perancangan dan berjuanglah dengan sepenuh hati di hadapan penyokong sendiri.
“Aura pemain ke 12 juga ditagih kerana ini akan menaikkan semangat 11 pemain yang berada diatas padang,”ujarnya.
Kelantan City FC ketika ini berada dikedudukan kelima selepas mengumpul empat mata hasil satu kemenangan dan satu seri manakala Perak FA ditangga teratas dengan dua kemenangan.
#AFL
#ligaa1semipro20262027
#ligauntuksemua
> Jadual perlawanan
12 September 2026 / Sabtu
Kelantan City FC vs Perak FA
Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu / 8.45 mlm
