
KEDAH Darul Aman FC (KDA FC), Guar Syed Alwi (GSA FC), FC Seoul Phoenix (Korea Selatan) dan UM-Damansara United kini telah disahkan penyertaan dalam saingan Liga A1 Semi Pro 2025-2026.
Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, tiga pasukan berkenaan sebelum ini diberikan kelulusan bersyarat dan perlu melengkapkan beberapa kriteria serta dokumen mengikut tempoh yang diberikan.
“Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Guar Syed Alwi (GSA FC) dan FC Seoul Phoenix (Korea Selatan) kini telah disahkan penyertaaan mereka di Liga A1 Semi-Pro 2025-2026,” katanya.
Mohd Yusoff berkata, AFL juga telah mengesahkan penyertaan UM- Damansara United yang sebelum ini diletakkan dalam senarai menunggu bersama Ipoh City FC.
“Setelah melalui proses semakan dokumen dan kriteria ditetapkan sama seperti pasukan-pasukan yang lain, UM- Damansara United juga turut disahkan penyertaan bagi melengkapkan jumlah 16 pasukan menyertai Liga A1 Semi Pro 2025-2026.
“Bagi Ipoh City FC pula, pasukan berkenaan telah mengambil keputusan untuk menarik diri menyertai saingan,” ujarnya.
Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah AFL yang diadakan pada 5 Jun 2025 lalu telah memaklumkan 12 pasukan berjaya mengesahkan penyertaan bagi musim 2025-2026.
Pasukan-pasukan berkenaan adalah Armed Forces FC, Manjung City FC, Imigresen FC II, Johor Darul Ta’zim II, Selangor FC II, Kelantan WTS FC dan Kedah FA.
Turut sama Machan FC, Kelantan Red Warriors FC, Bunga Raya FC, Malaysian University, dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).
#AFL
#ligaa1semipro
#ligauntuksemua