

Johor Darul Ta’zim II tekad memastikan rekod tanpa kalah Kelantan City FC lebur dilaman sendiri menjelang pertembungan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu malam ini.
Penyerang JDT II, Muhammad Syukur Fariz Januri berkata, selain membawa misi memastikan rekod tersebut lebur, JDT II juga ingin mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga A1 Semi-Pro 2026/2027.
“Tuan rumah bukanlah pasukan yang mudah untuk ditewaskan pada musim ini tetapi kami sebagai pasukan JDT II yang sedang mendahului liga ketika ini akan memberikan saingan sengit buat tuan rumah.
“Kami akan pastikan tiga mata dibawa pulang,” tegas tonggak utama skuad Piala Presiden JDT III musim 2022 ini.

Ujarnya lagi, lawan mempunyai kekuatan yang seimbang terutamanya apabila bertahan namun itu bukan alasan untuk kami tidak menjaringkan gol.
“Kekuatan lawan seperti kita lihat, apabila mereka bertahan dan bermain sebagai satu pasukan mereka lebih kuat, kami akan cuba memastikan setiap ruang yang dimiliki untuk mendapatkan kemenangan,” jelasnya.
Selepas berakhirnya sembilan perlawanan, JDT II berada dikedudukan tangga teratas liga dengan mengumpul 21 mata hasil tujuh kemenangan dan dua kekalahan.
Bagi Kelantan City FC pula mereka turun malam ini dengan rekod tanpa kalah selepas sembilan perlawanan (lima menang, empat seri) untuk mengumpul 19 mata.
