AFL
Barisan 12 pemain yang dipilih menjalani latihan bersama Wolves FC.

BUKAN lagi Impian tetapi kenyataan apabila 12 Pemain MBSB Bank Championship 2023 telah terpilih untuk menjalani latihan bersama pasukan yang kini beraksi di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL), Wolverhampton Wanderers FC (Wolves). Senarai 12 tersebut juga adalah termasuk 2 Pemain Pasukan Juara Al-Ikhsan Cup 2023, UiTM United yang turut hadir dan terpilih secara merit pada sesi pemilihan minggu lalu.

Kesemua 12 pemain ini akan diterbangkan ke England untuk menjalani latihan selama seminggu di Compton Park Training Ground, England bersama pasukan Wolves FC dibawah program “Dare to Dream” yang dijayakan MBSB Bank selaku Penaja Rasmi Pertandingan MBSB Bank Championship 2023.

Sesi penilaian yang dikendalikan Pengurus Projek Antarabangsa Wolves, Joe Hunt, Jurulatih Bola Sepak & Pendidikan Wolves, Ryan Griffiths dan Jurulatih Pembangunan Bola Sepak Wolves, Cody Harper, kesemua pemain perlu melepasi enam ujian (halangan) yang ditetapkan meliputi segala aspek bola sepak termasuk kepantasan, ketangkasan, kemahiran teknik serta simulasi perlawanan sebenar.

Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank Berhad, Datuk Nor Azam M.Taib berkata, MBSB Bank sentiasa berusaha untuk memastikan pendekatan yang kreatif dan dekat di hati pelanggan dilaksanakan untuk mempromosikan produk perbankan MBSB Bank.

“Melalui program ‘Dare to Dream’ ini, MBSB Bank bukan sahaja menggalakkan gaya hidup yang sihat melalui sukan malah memupuk sifat menabung dan celik kewangan di usia muda melalui produk Akaun Simpanan M-Junior.

“MBSB Bank amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan AFL dan Wolverhampton Wanderes melalui kolaborasi ini. Kami yakin pendekatan ini akan dapat membantu mengetengahkan bakat-bakat muda dan akar umbi bola sepak untuk lebih berjaya dan mempunyai anjakan paradigma ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Raimi (dua,kiri) bersama tiga panel pemilihan yang terdiri dari Kejurulatihan Wolves FC.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Amateur Football League (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad berkata, 12 pemain yang dipilih seharusnya memanfaatkan peluang yang diberikan dan perlu dijadikan nilai tambah dałam perjalanan karier masing-masing sebagai pemain bola sepak.

“Inilah usaha yang ingin tonjolkan dalam mengetengahkan bakat-bakat muda dan terpendam dalam lingkaran atau rantaian bola sepak tempatan dan tidak keterlaluan, jika saya katakan pada masa akan datang pemain yang dipilih ini akan menggalas cabaran pasukan-pasukan kelab mahupun kebangsaan.”

“Bukan mudah untuk memastikan impian ini menjadi kenyataan namun MBSB Bank Berhad dengan kerjasama AFL berjaya melakukannya walaupun pada peringkat awal ramai yang agak meragui usaha murni demi pembangunan bola sepak tempatan.

“Tahniah buat pemain-pemain yang terpilih, peluang seumpama ini datang hanya sekali jadi rebut dan manfaatkanlah sepenuhnya untuk masa depan,” katanya.

Mohd Raimi Fakri berkata, penganjuran program “Dare to Dream” ini merupakan kesinambungan MBSB Bank Championship 2023 walaupun saingan telah berakhir namun usaha dan program kepada pemain-pemain tetap diteruskan.

“Usaha AFL dan MBSB Bank Berhad mencungkil bakat baharu serta menggilap kualiti pemain sedia ada bukan terhenti apabila berakhirnya sesuatu kejohanan mahupun pertandingan malah akan dibawa atau diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya pada majlis pengumuman pemain MBSB Bank Championship 2023 yang akan mengikuti program “Dare to Dream” – MBSB BANK X Wolverhampton Wanderers FC di Menara MBSB Bank, Petaling Jaya, Selangor.

Tahniah AFL ucapkan buat semua pemain yang berjaya !!!!

Senarai 12 pemain yang dipilih menyertai “Dare To Dream”

1 – Muhamad Ikmal Mohd Idris (KL Rovers / Penyerang)
2 – Muhamad Rafie Mat Yaacob (KL Rovers / Penyerang)
3 – Muhamad Rafie Kamaruzzaman (Imigresen FC / Pertahanan)
4 – Muhammad Hazim Abu Zaid (Imigresen FC / Pemain Tengah)
5 – Izzat Abd. Rahim (PIB Shah Alam FC / Penjaga Gol)
6 – Shahrul Igwan Samsudin (PIB Shah Alam FC / Pertahanan)
7 – Muhamad Aizat Safuan Razali (Manjung City FC / Pemain Tengah)
8 – Wan Muhammad Izzat Wan Zaidi (Manjung City FC / Pertahanan)
9 – Muhammad Darwisy Abdullah (Malaysian University / Pemain Tengah)
10 – Muhammad Fathullah Fazilisham (Naga Ultimate KS FC / Pemain Tengah)
11 – Pengiran Mohamad Ilham (UiTM United / Pertahanan)
12 – Zikry Bin Mohd Hafis (UiTM United / Pemain Tengah)
#afl
#mbsbbank
#championship2023
#wolvesfc

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *