AFL

SAINGAN MBSB Bank Championship 2024/25 semakin menarik dan kompetitif apabila pemain import dibenarkan untuk memperkuatkan pasukan bagi mengharungi saingan liga yang dijadualkan awal Mei nanti.

Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan kesemua pasukan yang berhasrat untuk mendaftarkan pemain import perlulah mematuhi garis panduan serta peraturan yang ditetapkan AFL, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“AFL tetapkan syarat-syarat tambahan yang lebih ketat antaranya kategori umur, deposit 6 bulan gaji yang perlu disediakan serta pengenalan syiling gaji bagi pendaftaran pemain import.”

“Setiap pasukan dibenarkan untuk mendaftarkan maksimum 2 pemain import berumur 18 hingga 21 tahun sahaja. Pemain-pemain import ini hanya boleh didaftarkan bermain di MBSB Bank Championship sehingga mereka berumur 23 Tahun sahaja. Jika mereka betul-betul bagus, berkemungkinan ada pasukan di atas (Liga Super) akan mendapatkan khidmat mereka. Jika tidak mereka harus pulang ke negara asal.” katanya pada Mesyuarat Kali Pertama Tahun 2024 Ahli Lembaga Pengarah AFL di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Mohd Yusoff berkata, pengenalan pemain import dalam MBSB Bank Championship 2024/25 bertujuan meningkatkan nilai komersial saingan yang kini memasuki edisi kedua penganjuran tahun ini.

Tambahnya lagi, pada dasarnya AFL tidak memberi tekanan kepada mana-mana pasukan untuk mendaftar pemain import kerana ianya bersifat tidak wajib dan bergantung kepada kedudukan kewangan masing-masing.

“Keputusan membenarkan khidmat pemain import ini akan memberi pendedahan awal kepada semua pasukan MBSB Bank Championship yang mempunyai peluang untuk dipromosikan ke Liga Super pada musim hadapan. Ianya juga boleh merapatkan jurang apabila bertembung dengan pasukan Liga Super di ‘cross-over competition’ (Piala FA & Piala Malaysia).

“Deposit 6 bulan gaji pemain import wajib disediakan kepada AFL sebagai salah satu syarat utama sebelum pemain ini disahkan pendaftaran. Jika syarat ini pun tidak boleh dipenuhi, usah bermimpi untuk menggunakan khidmat pemain import,” tegasnya.

“Deposit ini penting untuk kita pastikan kes tunggakan pembayaran gaji dapat dikurangkan di samping memberi jaminan serta menarik minat pemain import muda yang berkualiti untuk bermain di sini,” tambahnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff turut memaklumkan sembilan pasukan telah disahkan secara rasmi untuk bertanding di MBSB Bank Chamiponship Musim 2024/2025. Dua Pasukan disahkan menarik diri iaitu SAINS FC dan Sarawak United.

Lain-lain pasukan diberi tempoh selama 14 hari untuk melengkapkan pengesahan mereka.

Katanya lagi, sebagai langkah untuk mengekalkan jumlah penyertaan yang sama seperti musim lalu (14 Pasukan), Ahli Lembaga Pengarah AFL turut menerima beberapa permohonan Pasukan baharu untuk bermain di MBSB Bank Championship musim ini termasuk Pasukan Kelantan FC (Liga Super 2024) dan Machan FC (Al-Ikhsan Cup 2024).

“Kesemua Pasukan ini juga diberi tempoh yang sama untuk melengkapkan pengesahan penyertaan mereka,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *