AFL
Penjaring terbanyak MBSB Bank Championship musim lalu, Balo memperkuatkan pasukan Melaka FC musim lalu.

AURA jurulatih berpengalaman dan gabungan pemain sedia ada serta baharu yang sedang meningkat naik menjadi taruhan Melaka FC mengharungi saingan MBSB Bank Championship 2024/25.

Dibimbing jurulatih berpengalaman dalam kancah bola sepak tempatan iaitu,  K Devan yang memiliki aura tersendiri memberi gambaran awal penampilan Melaka FC kali ini bukan calang-calang dengan persiapan awal telah diatur rapi bagi memastikan gelaran kejuaraan menjadi kenyataan.

Deretan bekas pemain Liga Super selain kehadiran penjaring terbanyak musim lalu, Azim Rahim atau lebih mesra dengan gelaran Balo yang merupakan anak jati Melaka antara tonik tambahan buat pasukan.

Pengurus pasukan Melaka FC, Muhammad Najmi Mohd Nordin menjelaskan, penampilan pasukan dalam saingan kali ini pastinya berbeza dengan hampir 80 peratus muka baharu.

“Kami mengekalkan 20 peratus pemain sedia ada yang berpengalaman dan membawa masuk sebahagian pemain baharu dengan kesemua pemain berumur dalam lingkungan 23 hingga 30 tahun.

“Sasaran pastinya slot Liga Super 2025/26 berdasarkan kemampuan K Devan serta pemain-pemain yang dibawa masuk, buat masa ini kita telah mendapatkan 20 pemain dan saya percaya akan ada pertambahan pemain.

“Kita serahkan kepada K Devan untuk memperkemaskan pasukan bagi mengharungi saingan musim ini yang kompetitif serta mencabar,” katanya kepada AFL, hari ini.

Kredebiliti dimiliki K Devan sememangnya tidak perlu dipertikaikai selaku jurulatih berpengalaman.

Selain Balo yang menjadi buruan beberapa pasukan, khidmat bekas ketua pasukan Harini Selangor FT, Mohamad Nasir Basharudin bersama rakan sepasukannya, Muhammad Fikri Mohamed Shah dan Zulkiffli Zakaria turut memperkuatkan Melaka FC musim ini.

Melaka FC turut membawa masuk penjaga gol KL Rovers, Ameerul Eqhwan Mohd Fauzi dan Ahmad Solehin Mamat (Imigresen FC) serta melantik bekas pemain yang beraksi dengan beberapa kelab terkemuka dalam kancah bola sepak Malaysia sekitar tahun 2008 hingga 2020 bersama pasukan Selangor, Kelantan, JDT FC, PJ City, Perak dan Kuala Lumpur iaitu, S Subramaniam selaku penolong jurulatih kepada K Devan.

Mengulas persediaan pasukan, Muhammad Najmi menjelaskan beberapa siri perlawanan persahabatan telah diatur minggu lalu untuk menilai keserasian barisan pemain baharu.

“Kami mengadakan perlawanan persahabatan menentang JDTIII serta JDTII dan hasilnya tidak mengecewakan khususnya dari segi persefahaman dan penerimaan pemain terhadap corak taktikal yang diterapkan jurulatih.

“Masih banyak lagi perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa sebelum saingan bermula dan usaha ke arah ini sedang giat digerakkan bagi memastikan Melaka FC berkualiti dan menjadi salah satu pasukan pencabar kejuaraan,” katanya.

Barisan pemain mula menjalani latihan sebagai persediaan mengharungi musim 2024/25.

Pencapaian Melaka FC musim 2023

Nama pasukan : Melaka FC

Venue: Stadium Hang Jebat / Hang Tuah

Rekod MBSB Bank Championship 2023

– Menang : 8

– Seri : 7

– Kalah : 9

– Jaringan : 38 gol

– Bolos : 38 gol

– Mata keseluruhan : 31 mata

– Penjaring terbanyak : Fakrul Aiman Sidid (8 gol)

– Pemain paling menyerlah : Fakrul Aiman Sidi, Farid Khazali

– Pemain muda menyerlah : Luqmanul Hakeem (22 tahun)

– Pencapaian : Tempat ke 10

March 12, 2024

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *