KETUA Jurulatih JAKIM FC, Mohd Nik menegaskan pasukannya perlu meraih kemenangan berdepan MAHSA City FC untuk memastikan jurang perbezaan mata dengan pasukan lain tidak terlalu jauh.
Hanya mengutip satu mata selepas dua perlawanan, JAKIM FC yang menanti kunjungan lawan, Sabtu ini perlu mengutip tiga mata seandainya ingin terus bersaing dengan pasukan lain yang berada dalam Zon 1.
“Kami tidak boleh tewas pada aksi ketiga menentang MAHSA City FC, petang esok, jika kita menang jurang perbezaan dengan pasukan diatas akan mengecil tetapi sebaliknya berlaku jika tewas.
“Saya melihat peluang kedua pasukan adalah sama rata dan pemain telah diingatkan untuk memberikan tumpuan penuh sehingga tamat perlawanan,” katanya pada AFL.
Tambahnya lagi, pasukan telah mengenalpasti kelemahan dalam dua perlawanan terdahulu dan situasi ini akan diperbaiki sebelum aksi menentang MAHSA City FC petang, esok.
“Sedikit kealpaan atau pun kurang fokus dipenghujung perlawanan menyebabkan lawan berjaya menjaringkan gol hingga kita tercicir mata.
“Saya telah tekankan agar pemain tidak mengulangi perkara yang sama jika ingin meraih kemenangan pertama,” katanya.
Selepas dua perlawanan, JAKIM FC hanya meraih satu mata dengan keputusan seri 1-1 berdepan MPPD FC serta tewas 1-2 kepada Bunga Raya FC manakala MAHSA City FC dengan tiga mata hasil kemenangan keatas Cyberfox FC (3-2) dan kekalahan 1-2 (MPPD FC).
Ketika ini, Bunga Raya FC memimpin rekod tanpa kalah manakala Republic Of Borneo yang turut berada dalam Zon 1 ditangga tercorot tanpa sebarang mata.