PENGENDALI MAHSA City FC, Shaipul Abd Kadir menyifatkan pertembungan menentang JAKIM FC sebagai peluang terbaik pasukannya untuk meraih tiga mata penuh.
Keyakinan ini dilontarkan berdasarkan prestasi semasa pasukannya selepas meraih tiga mata hasil dua perlawanan dengan saingan sengit diberikan anak didiknya.
Tegasnya, aksi sulung memberikan keputusan positif dengan tiga mata namun pertembungan menentang MPPD FC berakhir dengan kekalahan tipis 1-2 ditangan pasukan berpengkalan di Port Dickson itu.
“Jika dilihat perlawanan minggu lalu kami tewas berpunca dari sedikit kealpaan yang memberi ruang kepada lawan menjaringkan gol.
“Bertemu JAKIM FC peluang boleh dikatakan sama rata, tetapi walaupun mereka masih belum meraih mata penuh tidak mustahil bangkit pada aksi dilaman sendiri, Sabtu ini.
“Barisan pemain telah diingatkan agar memberikan fokus sepenuhnya sehingga tamat perlawanan dan tidak mengulangi kesilapan yang membawa padah buat pasukan,” ujarnya kepada AFL.
Mengulas komitmen barisan pemainnya, Shaipul melihat keyakinan tinggi dipamerkan bagi menebus kembali kekalahan pada minggu lalu.
“Momentum pemain kini agresif untuk memastikan tiga mata penuh dan menebus kehampaan minggu lalu, InsyaAllah pemain akan turun dengan komitmen tinggi dalam usaha memastikan kemenangan,” katanya.
Pada aksi pertama Al Ikhsan Cup 2023, MAHSA City FC berjaya menewaskan Cyberfox FC dengan kemenangan 3-2 namun tewas kepada MPPD FC, 1-2.
Bagi JAKIM FC pula mereka hanya seri 1-1 berdepan MPPD FC sebelum tewas 1-2 kepada Bunga Raya FC.
Pertembungan MAHSA City FC dan JAKIM FC yang berada dalam Zon 1 (Tengah / Selatan) pastinya menarik dengan kemenangan akan melonjakkan kedudukan pasukan.